Lori pasir dalam perjalanan ke rumah MB rempuh tadika

Sebuah lori merempuh sebuah sekolah tadika swasta.
Sebuah lori merempuh sebuah sekolah tadika swasta.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sebuah lori membawa muatan pasir yang dalam perjalanan ke rumah Menteri Besar Johor di bandar raya ini hilang kawalan dan melanggar sekolah tadika swasta di Jalan Hassan Al-Attas 2 di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kemalangan pada jam 10.30 pagi itu berlaku apabila lori yang datang dari Kulai dipandu seorang lelaki tempatan berusia 30-an mengalami masalah brek.

"Ketika sampai di lokasi kemalangan lori berkenaan dikatakan mengalami kegagalan brek sehingga mengundur secara sendiri lalu, melanggar bangunan tadika tersebut yang berada di belakang.

"Kemalangan ini tidak menyebabkan sebarang kecederaan. Semasa kejadian semua 160 murid dan 30 guru tidak berada dalam bangunan sekolah tadika swasta itu kerana sedang melakukan aktiviti di luar kelas," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, ujian saringan ke atas pemandu tersebut mendapati negatif daripada sebarang jenis dadah.

Katanya, Bahagian Siasatan dan Pengkuatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan sudah membuka kertas siasatan.

"Kes disiasat di bawah Peraturan 112 LN 170/59 iaitu cuai mengundur sehingga mengakibatkan kemalangan," katanya.

Artikel Berkaitan: