'Orang luar jangan masuk campur'

Hamzah (tiga dari kiri) menyampaikan dokumen pengenalan diri kepada seorang kanak-kanak pada Program Kita Demi Negara Zon Timur KDN di Lembah Sireh di Kota Bharu.
Hamzah (tiga dari kiri) menyampaikan dokumen pengenalan diri kepada seorang kanak-kanak pada Program Kita Demi Negara Zon Timur KDN di Lembah Sireh di Kota Bharu.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan mengingatkan ‘orang luar’ dan pihak tertentu supaya tidak campur tangan berkait urusan penghantaran pulang pelarian warga Myanmar.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menegaskan pendatang dan pelarian-pelarian yang terlibat melanggar undang-undang negara ini dan tetap dihantar pulang.

“Kalau kami dah tangkap, sesiapa sahaja bukan pelarian Myanmar sahaja, bermaksud mereka melakukan kesalahan dan melanggar undang-undang negara ini.

“Ada kesalahan dilakukan, apabila dihukum, sudah sampai tempohnya untuk kita hantar mereka balik. Orang luar jangan masuk campur!" ujarnya pada sidang akhbar Program Kita Demi Negara Zon Timur KDN di Lembah Sireh di sini pada Khamis.

Beliau menjelaskan, tindakan diambil kerajaan berbeza terhadap mereka yang termasuk dalam golongan pelarian politik.

“Kalau pelarian politik, itu lain. Kami pun faham dan sedar serta tidak akan menghantar orang yang akan menyebabkan orang itu nanti ‘hilang’ di negara sendiri.

“Kami tidak akan melakukan perkara yang boleh menyebabkan kezaliman terhadap individu,” katanya.

Sebelum ini, Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) menggesa kerajaan supaya menghentikan penghantaran pulang pelarian dan pencari suaka ke Myanmar.

Artikel Berkaitan:

UNHCR mendedahkan sejak April 2022, lebih 2,000 warga Myanmar dihantar pulang termasuk tentera yang berpaling tadah dan mendakwa tindakan dibuat Malaysia tanpa meneliti tuntutan suaka dan keperluan perlindungan lain.

Hamzah turut memberi peringatan kepada rakyat di negara ini agar tidak terikut-ikut dengan tuntutan pihak luar yang dipercayai mempunyai kepentingan tertentu.

“Tak payah nak ikut apa yang dilaungkan oleh badan bukan kerajaan (NGO) tertentu yang sentiasa bersahabat baik dengan UNHCR kerana mereka mempunyai kepentingan dan sesuatu yang tak payah saya sebutkan di sini.

“Kita sedang meneliti untuk membuat keputusan sama ada UNHCR patut ada di sini atau tidak kerana sebagai negara bermaruah dan martabat, saya ingatkan, kita patut menjaga negara kita terlebih dulu sebelum menjaga orang luar,” katanya.