Warga Felda istimewa, akan terus dijaga kerajaan: PM

Ismail Sabri ketika berucap dalam program Himpunan Keluarga Felda, Teguh Bersama di Felda Mayam di sini pada Khamis. - Foto Bernama
Ismail Sabri ketika berucap dalam program Himpunan Keluarga Felda, Teguh Bersama di Felda Mayam di sini pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

BERA - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, warga Felda sentiasa istimewa dan akan terus ‘dijaga’ kerajaan, termasuk generasi kedua tanah rancangan berkenaan.

Pada program Himpunan Keluarga Felda, Teguh Bersama di Felda Mayam di sini pada Khamis, Ismail Sabri berkata pelbagai insentif yang diberikan kerajaan kepada warga Felda sejak awal penubuhan tanah rancangan itu lagi, mencerminkan betapa istimewanya warga Felda kepada kerajaan.

"Walaupun beberapa ketika Felda mungkin hadapi pelbagai masalah dalaman, tetapi warga peneroka tak dilupakan begitu sahaja,” katanya pada majlis yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi Felda Tan Sri Idris Jusoh.

Ismail Sabri yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Bera berkata, layanan kerajaan tidak terhenti setakat peneroka sahaja, malah pelbagai insentif baharu turut diumumkan baru-baru ini bagi generasi kedua Felda.

Beliau berkata, ini termasuk pelaksanaan Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) yang ditambah baik dengan memperkenalkan inisiatif lot generasi Felda, dengan 8,670 unit lot telah dikenal pasti dan 770 unit telah pun dilaksanakan secara undian lot.

"Untuk (PGBF) Bera, saya harap disegerakan, kalau dah kenal pasti kawasan... panggil segera interviu kalau ada permohonan, kalau ada permohonan luluskan segera untuk generasi kedua,” katanya.

Bukan itu sahaja, Ismail Sabri berkata, RM20 juta diperuntukkan Felda dan lebih banyak lagi diumum kerajaan menerusi Bajet 2023, untuk bantuan pinjaman perumahan kepada golongan muda termasuk generasi kedua Felda menerusi Skim Jaminan Kredit Perumahan.

Beliau turut meminta Felda mengurangkan birokrasi dan menyegerakan permohonan Tabung Usahawan Belia Felda yang diperuntukkan dana pusingan sebanyak RM10 juta kepada generasi kedua.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sejumlah 23 permohonan telah diterima di peringkat wilayah, dan permohonan itu seterusnya akan di bawa ke ibu pejabat untuk kelulusan.

Menyifatkan warga Felda sebagai pengundi yang sangat setia dalam sejarah kerajaan BN, Ismail Sabri berharap undi warga Felda dapat diterjemahkan kepada kemenangan BN di peringkat negeri Pahang dan kerajaan Persekutuan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Saya beri jaminan jika kita menang besar, politik kita stabil, ekonomi kita bertambah baik, yang untung tuan-tuan dan puan-puan selaku rakyat yang amat setia.

"Feldalah sebenarnya 'fixed' deposit kita, Feldalah golongan yang sangat setia dengan kerajaan yang kita perintah dulu,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRU15 pada 19 November, penamaan calon pada 5 November dan pengundian awal pada 15 November. - Bernama