Penganggur dijatuhi hukuman mati

Tertuduh ketika tiba diperkarangan mahkamah.
Tertuduh ketika tiba diperkarangan mahkamah.
A
A
A

SEREMBAN - Mahkmah Tinggi di sini pada Khamis menjatuhkan hukuman mati ke atas seorang penganggur selepas didapati bersalah membunuh seorang juruteknologi pergigian empat tahun lalu.

Hakim Azizul Azmi Adnan menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh Abdul Malik Rosli, 24, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.

Sebaik hukuman dijatuhkan, tertuduh kelihatan tenang dan difahamkan tiada ahli keluarga yang hadir di mahkamah berikutan tidak berkemampuan.

Azizul dalam penghakimannya berkata, mahkamah telah meneliti secara maksimum keterangan ketika pembelaan kes dan pertuduhan telah dibuktikan terhadap tertuduh.

"Tertuduh disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan seperti dalam pertuduhan bertarikh 21 Oktober 2019.

"Mahkamah tiada budi bicara bagi pertuduhan mengikut Seksyen 302, justeru, hukuman gantung sampai mati dijatuhkan mengikut peruntukkan dalam Kanun Keseksaan," katanya.

Sebelum itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Husni Fairos Ramly ketika berhujah berkata, mahkamah perlu menjatuhkan hukuman berat kepada tertuduh sebagai pengajaran dan amaran kepada tertuduh serta orang lain supaya tidak melakukan perbuatan sama.

"Kesalahan dilakukan Orang Kena Tuduh (OKT) dirancang, malah OKT tergamak mengambil barang si mati dan memukul si mati dengan peralatan yang berada dalam rumah mangsa (si mati).

Artikel Berkaitan:

"Justeru, saya memohon hukuman setimpal sepertimana diperuntukkan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Sementara itu, Peguam Datuk Haniff Hasan berhujah, kesalahan tertuduh bukan jenayah terancang kerana tidak membabitkan sindiket dan upah sebaliknya berlaku akibat tekanan perasaan sehingga dia bertindak di luar batas sepatutnya.

"Latar belakang tertuduh perlu diambil kira di mana dia yang merupakan anak bongsu daripada empat beradik tidak bekerja dan datang daripada keluarga miskin," katanya.

Katanya, pihak pembelaan akan mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan bagi merayu terhadap keputusan mahkamah pada Khamis.

Pada 12 Februari 2018, media melaporkan tertuduh didakwa di Mahkamah Majistret Port Dickson atas pertuduhan membunuh juruteknologi pergigian.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh Mahussin Abdul Rahim, 28, di sebuah unit di Kuarters Klinik Kesihatan Lukut, Port Dickson pada jam 1.40 pagi, 19 Januari 2018.

Mayat Mahussin ditemui oleh rakannya selepas 72 jam dilaporkan menghilangkan diri dan tidak datang bekerja pada 22 Januari 2018.

Suspek melarikan diri menggunakan motosikal mangsa dan siasatan polis membawa kepada penahanannya di sebuah rumah di Johor Bahru, pada 30 Januari tahun yang sama.

Hasil soal siasat polis, suspek mendakwa mengenali mangsa melalui aplikasi WeChat dan dijanjikan pekerjaan menyebabkan dia datang ke rumah mangsa menaiki bas, namun mangsa didakwa tidak menepati janji lalu berlaku pertengkaran sebelum suspek membunuh mangsa.

habis