Bekas Ketua Pengarah Penyiaran meninggal dunia

Allahyarham Abdullah
Allahyarham Abdullah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Abdullah Mohamad meninggal dunia di sebuah hospital swasta pada 5 pagi Khamis, kata anaknya, Datuk Mohamad Arif Abdullah.

Jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid At-Taqwa TTDI dan kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara selepas solat zuhur, katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Abdullah, 91, seorang penerbit televisyen perintis di Malaysia, dilantik sebagai Ketua Pengarah Penyiaran pada 1975 dan bersara pada 1986.

Antara pencapaian Radio Televisyen Malaysia (RTM) di bawah pentadbirannya ialah pengenalan siaran televisyen berwarna di Malaysia dan peluasan siaran televisyen ke stesen Sabah dan Sarawak.

Berasal dari Muar, Johor, Abdullah mula berkecimpung dalam bidang penyiaran pada Januari 1954 sebagai juruhebah dan penterjemah seterusnya berkhidmat di Bahagian Melayu British Broadcasting Corporation, London bermula 1957 hingga 1962.

Allahyarham Abdullah yang juga pengasas dan presiden pertama PVRTM pernah menerima anugerah Tokoh Seri Angkasa pada 2010, dan National Press Club juga pernah menganugerahkan beliau dengan NPC-Ambank Media Legend Award 2012 bagi menghargai sumbangannya kepada industri media negara.

Abdullah meninggalkan seorang balu Datin Marion Abdullah dan empat anak. - Bernama

Artikel Berkaitan: