Pas ambil tindakan undang-undang kes fitnah bekas ADUN

Roslan Shahir
Roslan Shahir
A
A
A

SHAH ALAM - Pas Selangor akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak menabur fitnah termasuk isu pertuduhan rasuah terhadap seorang bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti itu yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada tahun 2018.

Setiausahanya, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, Pas Selangor kononnya difitnah mempunyai pemimpin terlibat dalam rasuah.

Menurut beliau, siasatan terhadap kes membabitkan bekas ADUN Pas itu telah pun selesai dilakukan oleh pihak SPRM.

"Menurut surat SPRM kepada beliau (bekas ADUN Pas) bertarikh 18 Mei lalu, Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM telah pun memutuskan bahawa tiada pendakwaan dilakukan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sehubungan itu, katanya, Pas Selangor kesal berhubung fitnah yang terus dimainkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Roslan Shahir memberitahu, setiap parti bertanding telah pun memulakan kempen untuk memastikan kemenangan parti masing-masing pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)

Jelas beliau, Pas Selangor menghormati amalan demokrasi sihat dan mengingatkan jentera serta aktivis parti itu di negeri ini agar sentiasa mengamalkan budaya politik matang dan sejahtera dalam berkempen.

"Aktiviti kempen hendaklah tertumpu pada mengemukakan janji-janji, dasar dan perjuangan parti tanpa menyerang mana-mana pihak apatah lagi menabur fitnah sehingga boleh mencetuskan ketegangan," kata beliau.

Artikel Berkaitan: