GM Klang aktifkan Aplikasi Komuniti Bisnes

Rodziah (dua dari kanan) dan Kok Seng memotong kek sempena ulang tahun ke-13 selepas majlis pelancaran aplikasi Komuniti Bisnes GM Klang.
Rodziah (dua dari kanan) dan Kok Seng memotong kek sempena ulang tahun ke-13 selepas majlis pelancaran aplikasi Komuniti Bisnes GM Klang.
A
A
A

KLANG - Pemborong dan usahawan kini boleh meneroka peluang keusahawanan dengan mudah dan pantas menerusi aplikasi Komuniti Bisnes GM Klang yang dilancarkan sempena ulang tahun ke-13 GM Klang.

Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor, Rodziah Ismail berkata, inisiatif Pusat Borong GM Klang membangunkan aplikasi itu juga selari dengan matlamat menjadikan Selangor sebagai negeri pintar menjelang 2025.

Menurut Rodziah, pendigitalan dalam industri perniagaan pada zaman sekarang adalah sangat penting bagi memastikan perniagaan yang dijalankan terus berdaya saing dan kekal relevan.

“Pendigitalan perniagaan terbukti mencipta peluang perniagaan lebih banyak sekali gus menyumbang kepada kestabilan ekonomi komunitinya,” katanya ketika ditemui pemberita.

Rodziah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Aplikasi Komuniti Bisnes GM Klang di Pusat Borong GM Klang di sini pada Selasa.

Hadir sama, Pengarah Urusan GM Klang, Datuk Lim Seng Kok.

Rodziah (tengah) bersama Kok Seng (dua dari kanan) pada Majlis Pelancaran Aplikasi Komuniti Bisnes GM Klang di Pusat Borong GM Klang di sini pada Selasa.
Rodziah (tengah) bersama Kok Seng (dua dari kanan) pada Majlis Pelancaran Aplikasi Komuniti Bisnes GM Klang di Pusat Borong GM Klang di sini pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Seng Kok berkata, antara kemudahan boleh dinikmati pengguna aplikasi itu termasuklah tetapan temu janji dengan pemborong bersesuaian selain studio khas bagi tujuan promosi, pengiklanan atau ‘live stream’.

Beliau memaklumkan, aplikasi Komuniti Bisnes GM Klang itu tidak seperti aplikasi-aplikasi pusat membeli-belah yang lain kerana matlamat utama pihaknya adalah jauh lebih berbeza.

"Matlamat kami adalah lebih berpaksikan kepada pembangunan usahawan di mana aplikasi ini dapat membantu memudahkan urusan perniagaan pengguna

di GM Klang melalui fasiliti sedia ada di dalam aplikasi tersebut.

"Disebabkan itu, kami terpaksa mengambil masa lama sedikit untuk menghasilkan aplikasi ini setelah benar-benar memastikan bagaimana ia dapat berfungsi dengan baik selaras dengan matlamat ingin kami capai," katanya.

Platform sesuai

Beliau berkata, Pusat Borong GM Klang ini adalah sebuah platform di mana berkumpulnya komuniti bisnes tidak kira pembekal, pemborong, pembeli borong, peruncit mahu pun ejen-ejen.

Menurut beliau, komuniti terbabit telah membentuk satu ekosistem perniagaan lengkap yang dapat menghubungkan lebih banyak komuniti-komuniti di luar sana supaya perniagaan dapat diperkembangkan.

"Semakin besar komuniti ini, semakin besar rangkaian perhubungan yang dapat dicipta untuk menakluki pasaran antarabangsa.

"Penghasilan aplikasi ini merupakan satu lagi inisiatif GM Klang untuk memperbesarkan komuniti bisnes yang sedia ada supaya banyak lagi peluang-peluang perniagaan dapat dicipta dan secara tidak langsung mampu melahirkan lebih ramai usahawan yang berdaya saing," katanya.

Aplikasi Komuniti Bisnes GM Klang itu tidak seperti aplikasi-aplikasi pusat membeli-belah yang lain kerana matlamat utama pihaknya adalah jauh lebih berbeza.
Aplikasi Komuniti Bisnes GM Klang itu tidak seperti aplikasi-aplikasi pusat membeli-belah yang lain kerana matlamat utama pihaknya adalah jauh lebih berbeza.

Katanya lagi, aplikasi tersebut juga merupakan titik permulaan bagi GM Klang untuk menerokai dunia perniagaan berteknologi moden seiring dengan peredaran zaman.

Jelasnya, untuk fasa pertama ini pihaknya lebih fokus merekrut pengguna yang sedang mengintai peluang untuk memulakan perniagaan sendiri dengan menghubungkan mereka terus kepada pemborong-pemborong di GM Klang mengikut kesesuaian bidang perniagaan.

"Banyak lagi penyediaan fasiliti perniagaan yang sedang kami rancang untuk fasa-fasa seterusnya bagi mempertingkatkan kualiti aplikasi ini dari semasa ke semasa," kata Seng Kok.

Beliau berkata, pelancaran aplikasi itu juga sebagai hadiah istimewa yang dapat diberikan kepada komuniti GM Klang sempena sambutan ulang tahun ke-13 GM Klang tahun ini.

"Kami berharap dengan inovasi aplikasi ini mampu membantu dan memberi manfaat yang besar kepada semua yang mempunyai impian untuk memulakan perniagaan sendiri.

"Besar harapan kami untuk menerima sokongan berterusan dari pihak kerajaan, rakan-rakan strategik dan media dalam perjalanan GM Klang mengorak langkah menjadi pusat borong sehenti yang paling komprehensif di Asia Tenggara," katanya.

Tambahnya, walaupun masih jauh perjalanan, namun pihaknya tetap akan meneruskan usaha tersebut sehingga dapat mencapai matlamat ditetapkan.