Enam individu ditahan dipercayai terbabit pajak gadai haram

Kesemua tertuduh disyaki terlibat dengan kegiatan pajak gadai haram ditahan di Selangor, Melaka dan Perlis. - Gambar hiasan.
Kesemua tertuduh disyaki terlibat dengan kegiatan pajak gadai haram ditahan di Selangor, Melaka dan Perlis. - Gambar hiasan.
A
A
A

PUTRAJAYA - Enam termasuk tiga wanita disyaki terlibat dengan kegiatan pajak gadai haram ditahan dalam lima serbuan di Selangor, Melaka dan Perlis yang membabitkan jumlah rampasan kira-kira RM200,000.

Ketua Siasatan dan Pemantauan Bahagian Kawalan Kredit Komuniti, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Asisten Komisioner Mohd Fauzi Hassan berkata, kesemua individu warga tempatan berusia lingkungan 20-an hingga 50-an itu ditahan dalam serbuan pada Mei dan Ogos lepas, hasil maklumat orang ramai dan risikan.

Katanya, barang kemas termasuk cincin, rantai tangan dan anting-anting bernilai RM146,050, wang tunai RM14,539.55, alat penimbang emas, cecair asid penguji emas selain resit menyerupai surat pajak gadai dan dokumen perjanjian pinjaman yang dikitar semula, turut dirampas dalam serbuan berkenaan.

"Lima daripada enam individu itu, dipercayai pekerja premis berkenaan dan akan dituduh di mahkamah dalam masa terdekat. Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 7(2) Akta Pemegang Pajak Gadai 1972 kerana menjalankan perniagaan pemegang pajak gadai tanpa lesen yang sah,” katanya pada sidang media di sini, pada Rabu.

Katanya, siasatan awal mendapati premis yang beroperasi secara terbuka antara enam bulan hingga tiga tahun itu, cuba mengaburi mata pihak berkuasa dengan meletakkan papan tanda perniagaan jual beli surat pajak gadai atau emas.

Beliau berkata, setakat ini, terdapat 789 pajak gadai berlesen di seluruh negara.

Mohd Fauzi Hassan turut menasihati orang ramai untuk menggunakan aplikasi i-Gadaian untuk mencari syarikat pajak gadai berlesen dan yang berdaftar dengan kementerian di seluruh negara. - Bernama

Artikel Berkaitan: