Agong terima menghadap perdana menteri, menteri Singapura

Al-Sultan Abdullah (kiri) pada Rabu berkenan menerima menghadap Hsien Loong sempena lawatan negara baginda ke republik itu selama empat hari bermula Selasa. - Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah (kiri) pada Rabu berkenan menerima menghadap Hsien Loong sempena lawatan negara baginda ke republik itu selama empat hari bermula Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

SINGAPURA - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Rabu berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dan empat menterinya di sini sempena lawatan negara ke Singapura.

Turut berangkat ke sesi menghadap yang berlangsung di Hotel Shangri-La itu ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta turut dihadiri isteri Perdana Menteri Singapura, Ho Ching.

Menteri Singapura yang hadir pada sesi menghadap itu ialah Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan; Menteri Pendidikan Singapura, Chan Chun Sing; Menteri Pembangunan Negara Desmond, Lee dan Menteri Pengangkutan, S. Iswaran.

Keberangkatan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong ke sesi menghadap itu diiringi Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin dan Ketua Setiausaha Pengangkutan, Datuk Isham Ishak.

Usai sesi menghadap yang berlangsung kira-kira setengah jam itu, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan berangkat ke Majlis Santapan Tengah Hari yang dihoskan oleh Hsien Loong dan isteri.

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong tiba di Singapura pada Selasa bagi mengadakan lawatan negara ke negara jiran terdekat Malaysia itu sehingga Jumaat ini.

Lawatan negara ke Singapura itu mencerminkan hubungan dua hala rapat serta istimewa antara Malaysia dan Singapura bermula sejak 57 tahun lepas.

Pada sebelah petang Rabu, Seri Paduka berdua dijadualkan berangkat ke Majlis Sambutan Negara di Istana serta akan melakukan pertemuan dengan Presiden Singapura Halimah Yacob disusuli Majlis Santapan Negara. - Bernama

Artikel Berkaitan: