Kes 1MDB: Lokman Adam kekal dipenjara sebulan

Lokman (dua dari kanan) berbincang bersama peguamnya Mohamed Shafee (tiga dari kiri) di Kompleks Istana Kehakiman pada Rabu. - Foto Bernama
Lokman (dua dari kanan) berbincang bersama peguamnya Mohamed Shafee (tiga dari kiri) di Kompleks Istana Kehakiman pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam, kekal dipenjara sebulan selepas didapati bersalah menghina mahkamah kerana mengugut saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ini berikutan keputusan sebulat suara oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan iaitu Datuk Seri Kamaludin Md Said, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Nordin Hassan pada Rabu yang menolak rayuan Lokman untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi pada 15 Julai tahun lepas.

Panel tiga hakim itu turut menolak rayuan silang dikemukakan pendakwaan terhadap hukuman penjara sebulan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi tersebut.

Pada 15 Julai 2021, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Collin Lawrence Sequerah menjatuhkan hukuman penjara sebulan terhadap Lokman selepas didapati bersalah menghina mahkamah kerana mengugut saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes 1MDB.

Saksi itu ialah bekas pegawai khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, yang juga saksi utama dalam kes tersebut.

Bagaimanapun panel tiga hakim itu membenarkan permohonan peguam yang mewakili Lokman, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah untuk menggantung pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan difailkan di Mahkamah Persekutuan.

Hakim Che Mohd Ruzima, yang membacakan keputusan pada Rabu berkata, fakta berhubung perlakuan yang membawa kepada tindakan yang diambil terhadap perayu (Lokman) tidak dipertikaikan kerana ia berpunca daripada satu laporan polis yang dibuat perayu pada 3.24 petang, 25 September 2019 dan satu kenyataan media dibuat pada hari sama, pukul 6.33 petang.

Katanya, mahkamah telah meneliti laporan polis itu dan transkrip kenyataan media dan hasil penelitian terhadap laporan polis itu, ia boleh diklasifikasikan sebagai satu laporan utama mengikut Seksyen 107 Kanun Tatacara Jenayah.

"Cuma di akhir ayat laporan polis itu yang perlu diberi perhatian oleh mahkamah.

"Ayat tersebut berbunyi 'adalah tidak masuk akal Datuk Seri Najib orang yang teraniaya akibat namanya digunakan oleh manusia-manusia durjana didakwa mencemar imejnya sedangkan mereka memperoleh manfaat daripada kelakuan jenayah ini bebas dan tidak didakwa pula' adalah tidak perlu sekiranya perayu benar-benar berhasrat untuk menjalankan kewajipan awam bagi membantu pihak berkuasa menjalankan siasatan.

"Bagi kami perkataan manusia durjana dan mereka yang memperoleh manfaat daripada kelakuan jenayah ini bebas dan tidak didakwa pula sudah tentu merujuk kepada Datuk Amhari Efendi," katanya.



Hakim Che Mohd Ruzima berkata, tindakan perayu membuat kenyataan media mengulas laporan polis dan ditambah dengan ungkapan dan kata-kata yang tidak sepatutnya juga menyebabkan laporan polis yang dibuat oleh perayu tidak boleh dilindungi.

"Kami berpandangan bahawa tiada silapnya keputusan yang diambil oleh Mahkamah Tinggi dalam mensabitkan perayu bersalah atas menghina mahkamah. Terdapat fakta yang menunjukkan perayu berniat untuk membuat laporan polis dan membuat kenyataan media.

"Mahkamah juga mendapati bahawa tiada silapnya keputusan dibuat oleh hakim Mahkamah Tinggi apabila memutuskan perbuatan-perbuatan perayu telah mengganggu pentadbiran keadilan. Oleh itu, mahkamah mendapati tiada merit dalam rayuan perayu," kata hakim itu.

Berhubung rayuan silang pendakwaan, Hakim Che Mohd Ruzima berkata, tiada alasan munasabah untuk mahkamah mengganggu hukuman penjara yang dijatuhkan oleh hakim Mahkamah Tinggi.

"Hakim itu telah membuat pertimbangan berhubung kesalahan yang dilakukan, seriusnya kesalahan itu dan kepentingan awam semasa membuat keputusan, Oleh itu, hukuman (penjara) yang dijatuhkan terhadap perayu adalah wajar dan munasabah. Rayuan pendakwaan ditolak," kata hakim berkenaan.

Pada prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar.

Pada 22 Oktober 2019, Mahkamah Tinggi memberikan kebenaran kepada Tan Sri Tommy Thomas yang merupakan Peguam Negara ketika itu, untuk memulakan prosiding komital terhadap Lokman kerana menghina mahkamah sebanyak dua kali pada 25 September 2019.

Pada 14 Januari 2020, Hakim Sequerah menolak permohonan Lokman untuk mengetepikan kebenaran diperoleh Thomas dan kegagalan beliau dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan serta Mahkamah Persekutuan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Thomas memulakan prosiding komital terhadap Lokman dan memohon perintah supaya Lokman dipenjara atau didenda atas tindakannya menghina mahkamah.

Menurut Thomas pada 25 September 2019, Lokman dalam satu temu bual mengeluarkan perkataan berbaur ancaman atau ugutan terhadap Amhari Efendi kerana memberi keterangan pada perbicaraan bekas perdana menteri itu di Mahkamah Tinggi.

Thomas berkata, pada hari sama, Lokman membuat laporan polis terhadap Amhari Efendi, yang juga saksi pendakwaan kelapan, berhubung keterangan saksi itu pada perbicaraan berkenaan.

Katanya, matlamat atau tujuan tindakan Lokman ialah untuk mengganggu dan menakut-nakutkan Amhari Efendi, saksi lain dan mana-mana saksi berpotensi untuk tampil memberi keterangan terhadap Najib dalam perbicaraan kes 1MDB. - Bernama

Artikel Berkaitan: