PM UK disindir kerana keluarganya terlalu kaya

Rishi Sunak - Foto AFP
Rishi Sunak - Foto AFP
A
A
A

LONDON - Pihak pembangkang Britain pada Selasa menyindir Perdana Menteri yang baharu dilantik, Rishi Sunak kerana kekayaan keluarganya dan kerjaya lampaunya dalam dana pelaburan.

Akhbar Guardian turut menyiarkan berita dengan tajuk: 'Adakah kekayaan 730 juta pound (RM3.9 bilion) Rishi Sunak membuatkan beliau terlalu kaya untuk menjadi PM?'

Pengkritik telah menyatakan bahawa bekas Canselor Perbendaraan United Kingdom (UK) berusia 42 tahun itu kelihatan terlalu selesa berbanding realiti sebenar tentang kebimbangan rakyat biasa ketika tempoh krisis ekonomi yang semakin meruncing.

"Sunak dan isterinya mempunyai harta sebanyak 730,000,000 pound (RM3.9 bilion). Itu kira-kira dua kali ganda kekayaan yang dianggarkan (dimiliki) Raja Charles III," ciap Ahli Parlimen Parti Buruh, Nadia Whittome yang menjadi pembangkang di UK menerusi Twitter seperti dilaporkan AFP.

Anak imigran dari India dan Afrika Timur itu, Sunak mempunyai didikan yang istimewa dan bersekolah di sekolah swasta termasuk Kolej Winchester yang berprestij.

Selepas menamatkan pengajian dari Universiti Oxford, beliau bekerja di syarikat pengurusan pelaburan Goldman Sachs dan dua dana lindung nilai yang menguruskan wang pelabur-pelabur swasta.

Namun, pendapatan sebenar beliau dalam tempoh itu tidak diketahui.

Pada tahun 2009, Sunak berkahwin dengan anak perempuan bilionair India, Akshata Murty yang memiliki kepentingan besar dalam syarikat teknologi maklumat Infosys yang mana bapanya ialah salah seorang pengasasnya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, beliau tidak mungkin mencontohi bekas Perdana Menteri UK, Boris Johnson yang kekurangan wang sehingga menyebabkan tercetusnya skandal bahawa wang penderma Parti Konservatif digunakan untuk membayar pengubahsuaian di kediaman rasmi bekas pemimpin tersebut. - Agensi