'Bangga dengan Rishi' - Bapa mentua PM baharu Britain

Rishi Sunak - Foto Stefan Rousseau/PA Wire/dpa
Rishi Sunak - Foto Stefan Rousseau/PA Wire/dpa
A
A
A

NEW DELHI - Pengasas firma perkhidmatan IT India Infosys, N.R. Narayana Murthy mengucapkan tahniah kepada menantunya, Rishi Sunak atas pelantikan sebagai Perdana Menteri Britain pada Selasa.

"Tahniah kepada Rishi. Kami berbangga dengannya dan kami mendoakan kejayaannya," kata Murthy kepada agensi berita Press Trust of India.

Sunak, 42, bekas ahli kabinet Boris Johnson ialah Perdana Menteri ketiga Britain dalam tempoh tujuh minggu serta orang bukan kulit putih pertama memegang jawatan tertinggi.

Pengganti Johnson, Liz Truss merupakan Perdana Menteri paling singkat berkhidmat dengan meletak jawatan selepas 45 hari menerajui pentadbiran.

Dilahirkan di Southampton, England, Sunak dilantik sebagai ketua Parti Konservatif pada Isnin selepas saingannya, Penny Mordaunt menarik diri.

Ibu bapanya berketurunan Asia Selatan dan dilahirkan di Afrika Timur.

Beliau pernah bekerja di bank pelaburan Amerika iaitu Goldman Sachs.

Sunak bertemu isterinya, Akshata Murthy di Amerika Syarikat (AS) dan memiliki dua cahaya mata hasil perkahwinan mereka pada 2009.

Artikel Berkaitan:

Pasangan itu memiliki kekayaan bernilai lebih AS$800 juta, menurut satu laporan.

Perdana Menteri, Narendra Modi turut mengucapkan tahniah kepada Sunak menerusi Twitter.

"Tahniah @RishiSunak! atas pelantikan sebagai PM UK, saya berharap dapat menjalin kerjasama rapat dalam isu global dan melaksanakan Pelan Hala Tuju 2030.

"Sempena Diwali saya mengucapkan selamat maju jaya...," katanya. - Bernama