Penceramah bebas didakwa bagi cek tendang

Tertuduh (depan, tengah) ketika hadir di Mahkamah Majistret Seremban pada Rabu.
Tertuduh (depan, tengah) ketika hadir di Mahkamah Majistret Seremban pada Rabu.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang penceramah bebas didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu, atas pertuduhan memperdayakan seorang individu dengan menyerahkan cek tendang bernilai RM4,287.70 empat tahun lalu bagi perkhidmatan fotostat kertas-kertas soalan peperiksaan.

Tertuduh Muzzamil Soliheen Musa, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Firdaus Saleh pada Rabu.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa dengan curangnya memperdayakan seorang individu untuk perkhidmatan fotostat kertas-kertas soalan peperiksaan bagi sebuah sekolah di Lenggeng berjumlah RM4,287.70 dengan menyerahkan sekeping cek Ambank Islamic dan telah membatalkan cek tersebut.

Individu berkenaan tidak akan melaksanakan kerja-kerja tersebut jika tidak diperdayakan sedemikian.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 14 Mei 2018 lebih kurang jam 4 petang di Melati Square Putra Nilai.

Oleh demikian tertuduh didakwa telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari 10 tahun dan dengan sebatan dan boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Hafizah Zainul Hashimi menawarkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh yang diwakili peguam, Mohamed Musthafa dalam rayuannya memohon mahkamah mengenakan jaminan yang paling rendah dengan mengambil kira pendapatan anak guamnya tidak tetap iaitu purata RM3,000 sebulan.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, anak guamnya juga perlu menanggung empat orang anak dan dua daripadanya sedang bersekolah.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes pada 24 November depan.