Enam remaja bawah umur didakwa rogol gadis 14 tahun

Remaja berusia 15 tahun yang berbaju lokap berwarna jingga berdepan tuduhan rogol seorang mangsa sama.
Remaja berusia 15 tahun yang berbaju lokap berwarna jingga berdepan tuduhan rogol seorang mangsa sama.
A
A
A

BACHOK - Enam remaja bawah umur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Selasa atas pertuduhan merogol seorang gadis berusia 14 tahun bulan lalu.

Kesemua tertuduh berusia 15 tahun itu mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Fauzan Mohd Suhairi.

Berdasarkan 15 pertuduhan yang dibuat secara berasingan, mereka didakwa merogol mangsa yang berusia 14 tahun 10 bulan di sebuah bilik di kedai makan di Tawang, di sini, antara jam 12.30 pagi hingga jam 2.30 pagi dalam tempoh pertengahan Ogos sehingga September lalu.

Setiap tertuduh didakwa terhadap dua hingga tiga pertuduhan rogol tersebut.

Pertuduhan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Hakimie Ab Hadi manakala semua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Norizaidah Abdul Salam.

Pada prosiding itu, Mohd Hakimie tidak menawarkan jaminan untuk semua tertuduh berkenaan, namun Norizaidah merayu supaya tertuduh dibenarkan ikat jamin yang rendah berikutan kesemua mereka masih pelajar di sebuah sekolah menegah kebangsaan di Bachok.

“Mereka juga dalam kalangan keluarga susah dan ada yang menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah kemudian membenarkan kesemua mereka diikat jamin RM2,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 13 Disember ini.

Kesemua tertuduh membayar jaminan masing-masing.