Gerakan guna logo PN pada PRU15

Dominic (dua dari kanan) merasmikan Bilik Gerakan PN Parlimen Bayan Baru pada Selasa.
Dominic (dua dari kanan) merasmikan Bilik Gerakan PN Parlimen Bayan Baru pada Selasa.
A
A
A

BAYAN BARU - Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) akan menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) untuk semua kerusi yang ditandingi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, perkara itu telah dimuktamadkan yang mana, logo PN akan digunakan di semua negeri termasuk di Pulau Pinang.

"Gerakan akan menggunakan logo PN dalam PRU15 ini.

"Ini sudah dimuktamadkan dan tiada perubahan terhadap isu ini," pada sidang akhbar selepas perasmian Bilik Gerakan PN Parlimen Bayan Baru di sini, pada Selasa.

Sebelum ini, Gerakan Pulau Pinang meminta Ahli Jawatankuasa Gerakan Pusat mempertimbangkan cadangan menggunakan logo sendiri untuk bertanding pada Pilihan PRU15 walaupun di bawah gabungan PN.

Pengerusi Perhubungan Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong berkata, beliau telah meminta jawatankuasa pusat parti itu membuat pertimbangan berbincang dengan Majlis Tertinggi PN mengenai perkara tersebut.

Dalam pada itu, Dominic berkata, Gerakan akan bertanding di 18 kerusi Parlimen bagi seluruh negara dalam PRU15 ini.

Beliau berkata, parti tersebut akan bertanding di lima kerusi Parlimen iaitu Bukit Bendera, Jelutong, Bayan Baru, Tanjung dan Batu Kawan serta diyakini akan memberi saingan hebat kepada parti lain.

Artikel Berkaitan:

Pada PRU15 kali ini, kita akan bertanding di 18 kerusi Parlimen, melebihi PRU14 lalu yang mana, kita hanya bertanding di 13 kerusi (pada ketika itu).

"Bagi Pulau Pinang, kita akan meletakkan kerusi di lima kerusi Parlimen yang kita rasa boleh tawan (menang)," katanya pada sidang akhbar selepas perasmian Bilik Gerakan Parlimen Bayan Baru di sini pada Selasa.

Katanya, parti itu akan menampilkan 80 peratus muka baharu sebagai calon yang terdiri daripada berbilang kaum dan pelbagai latar belakang yang berpotensi untuk menang.

"Kita menetapkan beberapa kriteria antaranya penerimaan rakyat terhadap calon, calon yang boleh menang dan berupaya untuk memperjuangkan hak rakyat.

"Kita akan menampilkan muka baru dan calon yang lebih muda bagi menarik minat lebih ramai pengundi muda. Ini pertama kali kita mempertaruhkan ramai calon muda dan baru berbanding sebelum ini," katanya.

Dalam pada itu, Dominic turut memberi bayangan akan bertanding di salah satu kerusi Parlimen di Pulau Pinang namun enggan mendedahkan butirannya.

"PN setiap negeri akan mengumumkan semua calon yang bertanding pada 30 Oktober ini.

"Kita juga akan mengumumkan manifesto PN untuk PRU15 ini pada 1 November ini," ujar beliau.