Cabaran tarik anak muda keluar mengundi

Hasmuni Hassan
Hasmuni Hassan
A
A
A

KUBANG PASU - Keputusan Barisan Nasional (BN) meletakkan 70 peratus calon muka baharu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mampu menjadi daya tarikan kepada rakyat terutama pengundi muda untuk menyokong parti itu.

Setiausaha Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Hasmuni Hassan berkata, pengalaman pada PRU14 menjadi sandaran kepada semua rakyat termasuk pengundi muda untuk memberikan mandat kepada parti yang mampu membela nasib rakyat selepas PRU15.

Menurutnya, Pemuda UMNO yakin pengundi muda akan membuat pilihan tepat pada PRU kali ini untuk memilih kerajaan yang mampu memikul tanggungjawab kepada negara.

"Pengundi muda di negara ini termasuk di Sabah dan Sarawak bijak memilih siapakah kerajaan yang sebenar dan juga mereka akan merasakan bahawa cukuplah sekali mereka ditipu.

"Pada kali ini saya yakin bahawa mereka akan memilih sebuah kerajaan yang benar dan yakin kerajaan ini akan mampu memikul tanggungjawab kepada negara," katanya pada sidang akhbar pada malam Ahad.

Beliau yang juga Bendahari Pemuda UMNO Kedah berkata demikian selepas bertemu pengamal media Kedah di Jitra, dekat sini.

Hasmuni berkata, cabaran terbesar mereka pada PRU15 adalah untuk mengajak seluruh pengundi muda untuk keluar mengundi selepas melihat peratusan keluar mengundi rendah di bawah 70 peratus pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

"Di pihak Pemuda UMNO, kita cuba pujuk anak-anak muda supaya keluar mengundi dengan meyakinkan mereka bahawa ini adalah tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia untuk memilih sebuah kerajaan yang terbaik bagi mentadbir negara," ujar beliau lagi.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, mengulas tentang keberanian BN meletakkan 70 peratus muka baharu pada PRU15, Hasmuni berkata, perkara itu telah terbukti berjaya di PRN Melaka dan Johor dengan meletakkan 84 serta 79 peratus calon muka baharu.

Menurutnya, langkah itu menepati aspirasi jumlah pengundi muda berusia 40 tahun ke bawah dan kehadiran calon muda baharu boleh dilihat sebagai tawaran baharu BN kepada golongan ini.

"Di seluruh negara kita ada 5.5 juta pengundi muda berusia 40 tahun ke bawah dan di Kedah ini pula, lebih 800,000 daripada keseluruhan 1.5 juta pengundi termasuk dalam golongan berkenaan.

"Langkah meletakkan calon muda mampu menjadi faktor 'wow' kepada pengundi muda ketika parti berusaha menggunakan pelbagai medium baharu untuk memenangi hati mereka," kata Hasmuni.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semasa berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datuk minggu lalu berkata, BN akan menampilkan sekurang-kurangnya 70 peratus muka baharu sebagai calon untuk bertanding dalam PRU15.