Pelan Pembangunan Labuan 2030 tawar pembangunan ekonomi

Ismail Sabri (empat dari kiri) ketika tiba di Lapangan Terbang Labuan untuk menghadiri Majlis Amanat Jelajah Keluarga Malaysia yang berlangsung di Dewan Konvensyen Ujana Kewangan Labuan pada Ahad. - Foto Bernama
Ismail Sabri (empat dari kiri) ketika tiba di Lapangan Terbang Labuan untuk menghadiri Majlis Amanat Jelajah Keluarga Malaysia yang berlangsung di Dewan Konvensyen Ujana Kewangan Labuan pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

LABUAN - Pelan Pembangunan Labuan 2030 mampu membawa pelbagai pembangunan ekonomi di pulau bebas cukai ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, pelan pembangunan yang dilancarkan pada 2018 itu telah dirangka merangkumi kepelbagaian pembangunan fizikal dan sektor ekonomi bagi memacu pembangunan ekonomi Labuan.

"Pelan Pembangunan Labuan 2030 telah dirangka untuk memenuhi keperluan sektor ekonomi sedia ada dan bakal diwujudkan.

"Sekiranya kesemua (projek pembangunan) dilaksanakan, Labuan tidak perlu bergantung kepada sektor minyak dan gas (O&G),” katanya kepada pemberita selepas berucap pada Majlis Amanat Jelajah Keluarga Malaysia di Dewan Konvensyen Kompleks Ujana Kewangan di sini pada Ahad.

Beliau berkata, lima hala tuju yang dirangka dalam pelan pembangunan itu antara lain memberi fokus kepada pembangunan sektor perniagaan dan kewangan Labuan, sejajar dengan sumbangan pendapatan (melalui pungutan cukai) kepada negara daripada sektor ini.

"Selain itu, pelan pembangunan ini turut memberi penekanan kepada sektor O&G serta sektor pelancongan yang boleh memacu ekonomi Labuan ke tahap membanggakan.

"Sektor pendidikan juga antara yang diberi perhatian dalam pelan pembangunan ini bagi memperkasakan pembangunan modal insan di sini,” katanya.

Ismail Sabri turut menyentuh isu bekalan air dan beliau berkata, sebanyak lapan projek pemulihan (penggantian paip usang) dan naik taraf loji rawatan air dilaksanakan pada tahun ini.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan sedar kesulitan yang dihadapi rakyat di Labuan dan kerajaan sudah semestinya akan berbuat sesuatu demi kebajikan rakyat,” katanya.

Perdana Menteri berkata, cadangan projek pembinaan Kolej MRSM di Labuan telah lama diluluskan dan seharusnya boleh dilaksanakan berikutan tanah telah tersedia. - Bernama