Seorang maut, seorang lagi parah dilanggar pemandu mabuk

Kenderaan yang dipandu seorang lelaki melanggar dua pejalan kaki serta merempuh dua kenderaan lain dalam kejadian di Jalan Banting - Kajang berhampiran persimpangan Taman Sri Langat pada Sabtu.
Kenderaan yang dipandu seorang lelaki melanggar dua pejalan kaki serta merempuh dua kenderaan lain dalam kejadian di Jalan Banting - Kajang berhampiran persimpangan Taman Sri Langat pada Sabtu.
A
A
A

KAJANG - Seorang individu maut manakala seorang lagi parah apabila dilanggar pemandu mabuk ketika melintas jalan di Jalan Banting - Kajang berhampiran persimpangan Taman Sri Langat di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan berkaitan kejadian kira-kira jam 8.15 malam.

"Siasatan dijalankan mendapati suspek yang merupakan lelaki tempatan berumur 30-an memandu kereta jenis Ford dari Kajang Sentral dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Sri Langat Kajang.

"Setibanya di lokasi, suspek melanggar dua wanita tempatan yang sedang melintas jalan kemudian melanggar dua buah kenderaan lain yang diletakkan di hadapan restoran berhampiran," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Katanya, kedua-dua mangsa berumur lingkungan 20-an yang mengalami kecederaan parah dibawa ke hospital bagi rawatan lanjut.

"Seorang mangsa telah disahkan meninggal dunia di Unit Kecemasan Hospital Serdang manakala seorang lagi mangsa cedera parah sedang menerima rawatan di Hospital Kajang," katanya.

Menurutnya, suspek pula dibawa ke pejabat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kajang.

"Hasil ujian saringan awal kandungan alkohol mendapati suspek positif di bawah pengaruh alkohol.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan masih dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kemalangan ini," katanya.

Ujar Mohd Zaid, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta menghubungi mana-mana balai polis yang berdekatan di daerah Kajang atau menghubungi terus pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Mohd Feaisal Mokhtar di talian 012-9454655 bagi membantu siasatan," katanya.