'Sedia bertanding semula di Indera Mahkota' - Saifuddin

Saifuddin ketika ditemui pemberita selepas program gerai prihatin rakyat peringkat PN Indera Mahkota di sini pada Ahad.
Saifuddin ketika ditemui pemberita selepas program gerai prihatin rakyat peringkat PN Indera Mahkota di sini pada Ahad.
A
A
A

KUANTAN - Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah tidak menolak kemungkinan akan bertanding di kerusi Parlimen Indera mahkota, jika dicalonkan semula pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Katanya, PN Bahagian Indera Mahkota mencadangkan namanya kepada pucuk pimpinan untuk bertanding di kerusi terbabit.

"Kalau ikut bahagian saya (Bersatu Indera Mahkota) dan PN Indera Mahkota, mereka mencadangkan saya bertanding semula di sini.

"Saya bersedia untuk bertanding semula, apa-apa pun, bergantung kepada keputusan yang akan dibuat oleh majlis tertinggi PN," katanya ketika ditemui pemberita selepas program gerai prihatin rakyat peringkat PN Indera Mahkota di sini pada Ahad.

Program itu menawarkan pakej barangan dapur merangkumi beras, minyak masak, ayam segar, bawang dan kentang pada harga RM30.

Saifuddin memenangi kerusi parlimen Indera Mahkota dalam PRU14 dengan majoriti 10,950 undi.

Beliau yang ketika itu mewakili PH mendapat 28,578 undi menewaskan calon daripada BN, Dr Johan Mat Sah (17,628 undi) dan calon Pas, Nasrudin Hassan Tantawi (17,515 undi).

Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu memaklumkan penyerahan watikah kepada semua calon PN Pahang akan diadakan beberapa hari sebelum hari penamaan calon.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, itu menjadi kebiasaan mana-mana parti yang akan menyerahkan watikah kepada calon yang akan bertanding.

"Bagi PN Pahang, kita bukan saja serah watikah, kita juga akan meminta semua calon Parlimen dan DUN untuk angkat sumpah ikrar untuk tidak terlibat dalam rasuah," kata beliau lagi.

Ketika diminta mengulas mengenai calon menteri besar jika PN Pahang berjaya menumbangkan kerajaan Pahang yang kini diterajui BN, Saifuddin berkata, kemungkinan besar calon dari Pas akan mengisi jawatan itu.

"Dalam PN (Pahang), kita tak berebut untuk bertanding di kerusi DUN atau Parlimen. Kalau dikira, saya (Bersatu) pengerusi PN Pahang, tetapi kerusi DUN paling banyak ditandingi calon daripada Pas.

"Kebiasaanya, parti yang paling banyak kerusi DUN akan dipilih sebagai MB (menteri besar), jadi boleh dikatakan, calon MB adalah daripada Pas," jelas beliau.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Khamis mengumumkan tarikh penamaan calon untuk PRU15 ditetapkan pada 5 November, manakala tarikh untuk pengundian awal 15 November dan tarikh mengundi pula pada 19 November ini.