PRU15: Syed Saddiq mahu kekal bertanding di Muar

Syed Saddiq
Syed Saddiq
A
A
A

MUAR - Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah menyampaikan hasrat kepada pucuk pimpinan Pakatan Harapan (PH) untuk bertanding di kerusi Parlimen Muar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Syed Saddiq yang merupakan penyandang kerusi berkenaan berkata, mahu mempertahankan kerusi dimenanginya itu kerana berasa terhutang budi kepada warga Muar yang memberikannya peluang untuk berkhidmat sebagai ahli Parlimen pada PRU14.

Pada PRU14, Syed Saddiq yang merupakan calon PH daripada Bersatu menewaskan penyandang kerusi Parlimen Muar ketika itu, Datuk Seri Razali Ibrahim (BN) dan Abdul Aziz Talib (Pas) dengan majoriti 6,953 undi.

"Namun saya tidak mahu mendahului perkara itu kerana menghormati proses rundingan bersama sahabat PH, tetapi saya telah pun menyampaikan niat saya untuk mempertahankan kerusi Muar,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Malam Mesra Muo di sini pada Sabtu.

Sebelum ini Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan gabungan itu akan menjalin kerjasama dengan Muda dalam PRU15.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRU15 pada 19 November ini dengan penamaan calon ditetapkan pada 5 November manakala pengundian awal pada 15 November. - Bernama

Artikel Berkaitan: