'Saya tak berebut nak jadi menteri besar' - Ahmad Faizal

Ahmad Faizal menyampaikan ucapan ketika Program Sambutan Deepavali bersama warga Little India Ipoh, di sini pada malam Sabtu.
Ahmad Faizal menyampaikan ucapan ketika Program Sambutan Deepavali bersama warga Little India Ipoh, di sini pada malam Sabtu.
A
A
A

IPOH - Pengerusi PN Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu membayangkan untuk melepaskan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenderiang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi memberi tumpuan kepada kerusi Parlimen Tambun.

Menurutnya, keputusan itu dibuat bagi memberi peluang kepada lebih ramai calon berpotensi bertanding mewakili PN pada PRU15 nanti.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak berhasrat untuk kembali menjadi Menteri Besar Perak dan mahu memastikan kemenangan di kerusi Parlimen Tambun.

"DUN Chenderiang belum kita buat keputusan (untuk kekal bertanding), tapi saya secara peribadi ingin menumpukan perhatian kepada Parlimen Tambun, bukan kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim nak bertanding di situ kerana saya fikir eloklah kita beri peluang kepada pemimpin-pemimpin lain untuk kita tonjolkan.

"Saya telah pun mempunyai pengalaman sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), pernah menjadi menteri besar. Saya tak nak jadi macam parti-parti lain yang berebut nak jadi menteri besar," katanya kepada pemberita selepas Program Sambutan Deepavali bersama warga Little India Ipoh, di sini pada malam Sabtu.

Pada PRU14 lalu, Ahmad Faizal bertanding dan menang di dua kerusi yang diwakili iaitu di Parlimen Tambun dan DUN Chenderiang atas tiket PH.

Sementara itu mengenai calon yang bakal ditampilkan PN pada PRU15 nanti, Ahmad Faizal memaklumkan bahawa mereka sudah pun mempunyai calon-calon bukan Melayu yang berkelayakan untuk diletakkan di kerusi-kerusi majoriti pengundi bukan Melayu.

Katanya, calon-calon tersebut terdiri daripada Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Sayap Bersekutu Bersatu dan Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP).

Artikel Berkaitan:

"Kita di dalam PN dianggotai oleh semua kaum. Ramai yang memikirkan kita tidak akan memberi fokus kepada DUN yang mempunyai majoriti pengundi bukan Melayu.

"tetapi di dalam Gerakan misalnya kita mempunyai calon-calon yang sesuai. Dalam Bersatu sendiri melalui Sayap Bersekutu dan juga DHPP, kita mempunyai calon-calon yang baik yang boleh kita tawarkan untuk memberi perkhidmatan di DUN majoriti bukan Melayu," katanya.