Wei Jiet dakwa kereta kemek akibat provokasi program Muda

Wei Jeit berkongsi keadaan keretanya yang kemek di laman Twitter miliknya.
Wei Jeit berkongsi keadaan keretanya yang kemek di laman Twitter miliknya.
A
A
A

MUAR - Naib Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Lim Wei Jiet mendakwa keretanya kemek akibat insiden provokasi oleh sekumpulan lelaki berbaju hitam ketika Majlis Malam Mesra Muo anjuran parti itu pada malam Sabtu.

Wei Jiet turut berkongsi gambar keadaan keretanya menerusi ciapan di laman Twitter.

"Malam ini ada sekumpulan yang sekali lagi buat provokasi di hadapan ceramah Syed Saddiq di Muar.

"Kereta saya malangnya dihempuk mereka sehingga kemek sebegini.

"Tolonglah kalau tidak sehaluan, lawan guna hujah. Jangan bawa budaya politik samseng di Malaysia," tulisnya.

Pada Sabtu, ceramah Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dilapor sekali lagi dicemari insiden provokasi oleh sekumpulan lelaki berbaju hitam dalam kejadian di Muar.

Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, kejadian itu berlaku ketika Majlis Malam Mesra Muo yang berlangsung di Dewan Yong Sheng.

Dua klip video berdurasi 15 dan 46 saat yang dimuat naik Syed Saddiq menunjukkan sekumpulan lelaki berbaju hitam memakai pelitup hidung dan mulut melaungkan perkatan 'balik' sebagai provokasi terhadap tetamu yang hadir pada program berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu Syed Saddiq turut meluahkan rasa kesal dan kecewa dengan kejadian yang berlaku.

Pada 16 Oktober lalu, ceramah Muda di Muar turut dicemari insiden provokasi sekumpulan lelaki berbaju hitam.