Suka dalam duka KL City

Hodak. - Foto Facebook KL City
Hodak. - Foto Facebook KL City
A
A
A

PENGENDALI Kuala Lumpur City FC, Bojan Hodak mengakui beliau sedikit kecewa apabila gagal menjuarai Piala AFC selepas akur tumpas kepada Al Seeb 0-3 sebentar tadi.

Bagaimanapun di sebalik kekecewaan itu, jurulatih kelahiran Croatia itu tetap berbanggga dengan persembahan keseluruhan pasukannya yang berjaya mencipta kejutan dalam beberapa perlawanan sehingga berjaya melangkah ke perlawanan akhir.

“Sudah tentu kami kecewa apabila tewas pada perlawanan akhir. Bagaimanapun, saya tetap gembira dan bangga dengan kejayaan mereka layak sampai ke perlawanan akhir.

“Kalau dilihat sebelum ini, tiada siapa yang menjangka kami mampu mara sehingga peringkat ini. Malah ia bukan satu tugas yang mudah untuk pasukan menang dengan lawan yang hebat di gelanggang mereka di peringkat sebelum ini.

“Secara realistiknya saya perlu berbangga dan gembira kerana mereka berjaya sampai ke peringkat ini (Piala AFC),” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Al Seeb meranapkan impian skuad warga kota untuk mencipta sejarah muncul juara Piala AFC buat kali pertama.

Gol Al Seeb dijaringkan Ali Al Busaidi pada minit ke-22, diikuti Abdul Aziz Humaid Al Maqbali (minit ke-37) dan Muhsen Al Ghassani (minit ke-69).

Dalam pada itu, Bojan mengakui keputusan mungkin akan berbeza sekiranya beberapa percubaan KL City pada awal permainan berjaya diterjemahkan dengan gol.

Artikel Berkaitan:

“Sekiranya percubaan kami pada awal permainan berjaya diterjemahkan, mungkin keputusan malam ini akan berbeza.

“Melawan pasukan yang hebat seperti Al Seeb, anda perlu menggunakan peluang yang ada dengan sebaik mungkin. Jika gagal mereka akan menghukum anda kembali,” ujarnya.