GTA mahu tanding semua kerusi Parlimen di Pahang

Rosminahar (tengah) bersama Anuar (kanan) dan Mohd Pauzi ketika sidang akhbar di pejabat Pejuang Pahang, Indera Mahkota pada Sabtu.
Rosminahar (tengah) bersama Anuar (kanan) dan Mohd Pauzi ketika sidang akhbar di pejabat Pejuang Pahang, Indera Mahkota pada Sabtu.
A
A
A

KUANTAN - Senarai calon Gabungan Tanah Air (GTA) untuk bertanding Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang belum dimuktamadkan.

Timbalan Pengerusi GTA Pahang, Ir Rosminahar Mohd Amin berkata, perkara itu akan diputus dan diumumkan kepimpinan gabungan itu sebelum tarikh penamaan calon yang dijadualkan pada 5 November depan.

Menurutnya, GTA Pahang tetap dengan komitmen untuk bertanding di semua 14 kerusi Parlimen di Pahang seperti diumumkan Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini.

"Ada beberapa kawasan telah ada keputusan calon yang akan bertanding dan ada sebahagiannya masih dalam proses perbincangan.

"Bagi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), antara kerusi yang diintai untuk diletakkan calon ialah Indera Mahkota, Paya Besar, Temerloh, Lipis, Kuala Krau dan Pekan.

"Bagaimanapun ia tertakluk kepada keputusan ditetapkan kepimpinan gabungan," katanya.

Beliau yang juga Ketua Negeri Pejuang Pahang berkata demikian ketika ditemui di pejabat Pejuang Pahang,Indera Mahkota di sini pada Sabtu.

Turut serta, Penyelaras Pejuang Parlimen Indera Mahkota merangkap Setiausaha GTA Pahang, Mejar (B) Anuar Mohd Tajuddin; Ketua Penerangan Pejuang Pahang, Mohd Firdaus Hashim dan Penyelaras Pejuang DUN Beserah, Mohd Pauzi Taib.

Rosminahar berkata, pada masa sama beberapa kerusi DUN Pahang turut menjadi perhatian parti itu pada PRU15 ini.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun sebagai parti baharu, Pejuang bersama GTA mempunyai barisan kepimpinan yang berpengalaman luas dan konsisten dalam memperjuangkan nasib orang Melayu termasuk Tun Mahathir.

"Seiring dengan matlamat kami membela bangsa dan menolak kleptokarasi, Pejuang dan GTA dilihat mampu mencabar UMNO/BN di negeri ini," katanya.

Sementara itu katanya, isu Felda antara keutamaan yang akan diberi perhatian dan diperjuangkan Pejuang bersama GTA sekiranya gabungan itu diberi mandat pada PRU15.

"Keutamaan itu selari dengan matlamat Pejuang untuk memartabatkan bangsa kerana isu Felda berkait rapat dengan orang-orang Melayu.

"Isu seperti penyelesaian hutang peneroka, pemilikan dan warisan tanah serta pendapatan golongan itu perlu diselesaikan bagi mengubah kehidupan mereka ke arah yang lebih baik.

"Sudah tiba masanya, isu-isu Felda itu diselesaikan bagi memberi peluang kepada peneroka berdikari dengan mengusahakan sendiri ladang mereka kerana ia lebih menjamin peningkatan pendapatan golongan itu," jelasnya.

Rosminahar berkata, pada masa sama, Pejuang dan GTA Pahang melihat perlunya penambahbaikan dalam urus tadbir terutama melibatkan isu alam sekitar dan penerokaan sumber alam.

"Isu alam sekitar berkait dapat pelbagai masalah yang membelenggu kehidupan rakyat disebabkan pengurusan yang kurang sistematik dan tidak telus.

"Pahang sebuah negeri besar dan kaya dengan hasil bumi termasuk balak dan pelbagai mineral berharga yang perlu diurus dengan lebih sistematik serta telus supaya hasilnya dapat dioptimumkan.

"Bagaimanapun, perkara itu tidak boleh dilihatkan kepada hasil semata-mata sebaliknya impak daripada penerokaan alam itu perlu diberi perhatian kerana boleh membawa kepada isu alam sekitar yang serius," jelasnya.

Menurutnya, aktiviti pembalakan, perlombongan dan pembangunan lain yang tidak terkawal akan menyumbang kepada pelbagai masalah seperti pencemaran sumber air serta risiko bencana.

"Beberapa perkara lain yang menjadi keutamaan Pejuang dan GTA Pahang termasuk dalam soal pendidikan, pembangunan infrastruktur dan langkah meminimumkan impak bencana terutama banjir di negeri ini demi menyelamatkan nyawa dan harta benda rakyat" katanya.