Perbezaan agama bukan alasan permusuhan: Sultan Sharafuddin

Sultan Sharafuddin
Sultan Sharafuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Perbezaan agama dan bangsa tidak boleh dijadikan alasan kepada kezaliman atau permusuhan terhadap penganut agama atau bangsa lain.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, sikap saling menghormati dan toleransi penting dalam menyantuni perbezaan tersebut.

Titah baginda, walaupun setiap penganut agama berbeza dari segi kepercayaan, akidah dan amalan namun agama berperanan membimbing manusia melalui nilai-nilai murni yang terkandung dalam ajaran setiap agama.

"Nilai-nilai murni inilah yang seharusnya dijadikan asas kepada usaha membangunkan manusia yang bertamadun dan progresif.

"Beta yakin masyarakat berbilang bangsa dan agama di Malaysia pada hari ini bersedia untuk mengamalkan sikap berganding bahu dan menghormati anutan agama masing-masing,

"Insya-ALLAH segala niat dan usaha murni dalam memartabatkan agama dan memperkukuhkan hubungan rapat dalam masyarakat daripada pelbagai agama, budaya dan bangsa ini dapat dicapai," menurut sumber Facebook Selangor Royal Office.

Sultan Sharafuddin mencemar duli sempena menyambut ulang tahun ke-30 IKIM. - Foto FB Selangor Royal Office
Sultan Sharafuddin mencemar duli sempena menyambut ulang tahun ke-30 IKIM. - Foto FB Selangor Royal Office

Baginda bertitah sempena ulang tahun ke-30 Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) pada 12 Oktober 2022.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, baginda menyeru para ulama dan cendiakawan Islam agar dapat mentafsirkan ajaran agama Islam berdasarkan fahaman ahli Sunnah Wal Jamaah dan daripada sumber yang sahih dan benar.

"Beta mengharapkan para ulama dan cendiakawan Islam tidak menggunakan tafsiran yang ekstrem atau keterlaluan terhadap sesuatu permasalahan agama yang melibatkan umat Islam sehingga boleh memecahbelahkan masyarakat Islam di negara ini.

"Di samping itu, permasalahan agama yang melibatkan masyarakat Islam perlu diselesaikan secara muafakat dan baik tanpa perlu dibahaskan secara terbuka bagi mengelakkan perdebatan yang mengundang kepada kekeliruan dalam masyarakat," titah baginda.

Titahnya, menjadi hasrat Parlimen yang diterjemahkan dalam Perlembagaan Negara untuk menjadikan agama sebagai punca kepada perpaduan, keamanan, kedamaian dan ketenteraman yang merupakan anugerah tertinggi daripada ALLAH SWT.

Jelas baginda, perasaan hormat antara kaum dan agama juga merupakan teras kepada Rukun Negara yang menekankan kesopanan dan kesusilaan dalam konteks perhubungan antara kaum.

"Sukacita beta tegaskan di sini, institusi raja memainkan peranan yang penting bagi memastikan penyatuan pelbagai kaum, budaya dan agama ini akan sentiasa terpelihara sebagai tunggak utama kemakmuran negara.

"Institusi Raja akan terus kekal sebagai satu badan berkecuali yang mengatasi politik dan berperanan memberi nasihat dan teguran kepada kerajaan dan institusi agama terutamanya dalam soal memelihara perpaduan kaum," titahnya.