Tiga lelaki curi Proton Wira diberkas tidak sampai 24 jam

Salah seorang daripada tiga suspek yang ditahan menerusi serbuan di sekitar Kota Tinggi dan Pontian pada Jumaat. - Foto IPD Johor Bahru Selatan
Salah seorang daripada tiga suspek yang ditahan menerusi serbuan di sekitar Kota Tinggi dan Pontian pada Jumaat. - Foto IPD Johor Bahru Selatan
A
A
A

JOHOR BAHRU- Tindakan tiga lelaki mencuri sebuah kereta Proton Wira di tempat letak kenderaan di sebuah pangsapuri di Jalan Bayu Puteri, berjaya ditumpaskan apabila kesemua mereka diberkas tidak sampai 24 jam selepas melakukan jenayah itu pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, operasi dilakukan sepasukan anggota dan pegawai polis berjaya memberkas kesemua warga tempatan menerusi serbuan di sekitar Kota Tinggi dan Pontian kira-kira jam 4 pagi.

Katanya, ketiga-tiga suspek yang ditahan itu berusia antara 28 hingga 41 tahun.

"Pada jam 10.39 pagi Khamis, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan telah menerima satu aduan daripada seorang wanita tempatan berumur 44 tahun menyatakan kenderaan Proton Wira miliknya telah hilang disyaki dicuri.

"Kejadian dipercayai berlaku di tempat letak kenderaan di sebuah pangsapuri di Jalan Bayu Puteri 2 pada kira-kira jam 7 pagi pada hari yang sama.

"Bertindak atas maklumat, pada jam 4 pagi Jumaat, sepasukan pegawai dan anggota polis Balai Polis Majidee IPD Johor Bahru Selatan telah membuat tiga serbuan di lokasi berbeza di sekitar kawasan Kota Tinggi dan Pontian," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Menurut Raub, polis turut merampas sebuah kereta Proton Wira yang disyaki hasil curi dan sebuah Proton Satria yang digunakan suspek bagi melakukan jenayah curi kenderaan.

"Hasil semakan rekod jenayah mendapati dua daripada tiga suspek mempunyai 14 rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan jenayah dan dadah. Manakala seorang lagi suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan. Hasil dari tangkapan ini, polis telah menyelesaikan kes curi kenderaan yang berlaku di kawasan Majidee," katanya.