PRU15: Guna peluang pilih pemimpin berintegriti

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 19 November depan sebagai Hari Pengundian bagi PRU15. - Gambar kecil Muhammad Amir
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 19 November depan sebagai Hari Pengundian bagi PRU15. - Gambar kecil Muhammad Amir
A
A
A

SHAH ALAM - Kempen Satu Jari Bebas Rasuah menjadi aspirasi baharu bagi mencorak sejarah Malaysia yang bermaruah dan bebas rasuah.

Presiden Persatuan Alumni Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan, Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri berkata, kempen itu juga merupakan satu inisiatif yang sangat baik supaya dapat menimbulkan kesedaran rakyat di negara ini terutamanya pengundi yang akan mengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Kempen itu juga berupaya menyampaikan mesej pentingnya nilai satu jari setiap pengundi dalam PRU15 yang dilihat paling mencabar selepas negara dilanda dengan pelbagai konflik selepas PRU14 bagi membawa perubahan kepada 32.7 juta rakyat Malaysia.

“Saya juga menyokong penuh #Satujari adalah simbol kebersamaan rakyat dan menjadi aspirasi baharu dalam mencorak sejarah Malaysia bermaruah, bebas rasuah dan teguh dengan pemilihan barisan kepimpinan yang berintegriti pada PRU15,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, pelaksanaan Undi18 juga akan menjadi pemangkin keberkesanan pimpinan negara pada masa akan datang.

“Golongan muda merupakan ejen yang bakal menentukan pentadbiran negara pada masa hadapan sekali gus mencorakkan perubahan pimpinan yang lebih progresif.

“Tidak dinafikan juga buruk padahnya jika golongan muda ini tersalah membuat pilihan dalam mengundi yang mampu merencatkan pentadbiran negara.

“Bagaimanapun, risiko itu haruslah diambil untuk membentuk perubahan landskap pimpinan baik dalam politik mahupun pembangunan sosioekonomi sesebuah negara ke arah yang lebih berkesan dari semasa ke semasa,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, bagi menjamin kesejahteraan, pembangunan dan kemajuan sesebuah negara itu terletak kepada barisan kepimpinan yang menerajui pentadbiran negara tersebut.

“Jadi pentingnya untuk rakyat pastikan calon-calon yang akan dipilih pada PRU15 nanti merupakan individu yang bersih daripada rasuah, bertanggungjawab, sedia membela nasib rakyat, berintegriti, jujur dan bijak untuk melaksanakan mandat rakyat nanti.

“PRU15 adalah ruang dan peluang kepada rakyat untuk menentukan masa hadapan negara,” katanya.

Justeru, beliau berkata, pengundi muda perlu menggunakan peluang itu dengan sebaik mungkin bagi memilih barisan kepimpinan akauntabiliti dan berintegriti demi masa hadapan rakyat dan negara yang lebih baik.