Aminuddin sah ganti Anwar di Port Dickson

Anwar (empat dari kanan) mengumumkan Aminuddin (lima dari kanan) sebagai calon di kerusi Parlimen Port Dickson di Dataran Segar, Port Dickson pada Jumaat.
Anwar (empat dari kanan) mengumumkan Aminuddin (lima dari kanan) sebagai calon di kerusi Parlimen Port Dickson di Dataran Segar, Port Dickson pada Jumaat.
A
A
A

PORT DICKSON - Seperti dijangka, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun akan mewakili calon Pakatan Harapan (PH) di Parlimen Port Dickson pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Perkara itu disahkan melalui pengumuman dibuat Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga penyandang Parlimen Port Dickson ketika Jelajah Harapan Negeri Sembilan di Dataran Segar di sini pada Jumaat.

Naib Presiden PKR itu sememangnya sejak awal lagi disebut akan mengambil alih tempat Anwar selepas beliau menukar keahlian PKR dari Tampin ke Port Dickson tahun ini.

Beliau kemudian bertanding merebut jawatan Ketua Cabang Port Dickson dalam Pemilihan PKR 2022, April lalu dan berjaya menewaskan penyandang, Datuk M Ravi yang merupakan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan.

Selain itu Aminuddin juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat sejak 2008.

Untuk rekod, Anwar memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson 2018 dengan majoriti 23,560 undi dengan memperoleh 31,016 undi.

PRK Parlimen itu diadakan selepas penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusi berkenaan pada 12 September 2018 bagi membolehkan Anwar kembali ke Dewan Rakyat.

Parlimen Port Dickson mempunyai lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Chuah dan Lukut yang masing-masing diwakili PH dari DAP, Bagan Pinang dan Linggi (BN) dan Sri Tanjung (PH - PKR).

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Anwar ketika ditemui media memberitahu, Aminuddin dirasakan calon paling sesuai dan layak untuk menggantikannya di Parlimen Port Dickson atas beberapa faktor.

"Dia orang yang baik, kerja baik, berasal dari Pachitan, Port Dickson dan selalu ada di Port Dickson serta banyak membantu saya.

"Insya-ALLAH dia akan menang bergaya di Port Dickson," katanya.