PRU15: Syarikat penerbangan diharap tawar tiket murah

Fadillah
Fadillah
A
A
A

KUCHING - Syarikat penerbangan diharap dapat menyediakan kadar tambang lebih murah kepada pengundi yang ingin pulang mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ini bagi meringankan beban pengundi yang perlu menggunakan pengangkutan udara untuk pulang.

Menurutnya, kerajaan tidak boleh menyediakan peruntukan bagi membantu pengundi untuk balik mengundi.

"Pihak kerajaan tidak boleh menyediakan peruntukan untuk pengundi pulang mengundi kerana dari segi perundangan itu tidak dibenarkan.

"Melainkan ada pihak atau individu yang mahu menaja (tiket penerbangan),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat persediaan PRU15 parlimen Petra Jaya di sini, hari ini.

Semalam, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) akan mengawal selia harga tiket, supaya syarikat penerbangan tidak meningkatkan harga sewenang-wenangnya menjelang PRU15.

Ka Siong berkata, walaupun harga tiket penerbangan, secara lazimnya akan meningkat mengikut Mekanisme Harga Dinamik jika terdapat sesuatu peristiwa melibatkan pergerakan orang ramai, Mavcom akan mengambil tindakan sekiranya syarikat penerbangan didapati menaikkan harga tidak mengikut syarat ditetapkan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRU15 pada 19 November, penamaan calon pada 5 November dan pengundian awal pada 15 November. - Bernama

Artikel Berkaitan: