[VIDEO] Pas letak calon lebih hebat lawan Mahfuz di Pokok Sena

Datuk Wan Romani Wan Salim dan Mahfuz
Datuk Wan Romani Wan Salim dan Mahfuz
A
A
A

ALOR SETAR - Pas Kawasan Pokok Sena menyasarkan untuk merampas kembali kerusi Parlimen Pokok Sena daripada Parti Amanah Negara (Amanah) dengan menyediakan calon lebih hebat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Yang Dipertua Pas Kawasan Pokok Sena, Datuk Wan Romani Wan Salim berkata, kerusi Parlimen tersebut yang disandang oleh Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar antara yang berada di dalam senarai sasaran Pas pusat untuk dimenangi semula.

Menurutnya, senario PRU pada kali ini dilihat telah berubah malah kekuatan Pas juga meningkat apabila bersama Perikatan Nasional (PN) berbanding PRU14.

"Saya berkeyakinan Pas akan merampas semula kerusi Parlimen Pokok Sena dan calon-calonnya telah dikenal pasti dan ketokohannya lebih hebat daripada Mahfuz.

"Buat masa sekarang pun (jangkaan) majoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Lada dan DUN Bukit Pinang kita yakin menang (termasuk) 60 peratus di DUN Derga. Dengan situasi sekarang saya berkeyakinan Parlimen Pokok Sena, Pas akan kembali mengambil alih," katanya semasa ditemui pemberita baru-baru ini.

Wan Romani yang juga Exco Kedah berkata, Parlimen Pokok Sena sebelum ini adalah kerusi tradisi yang dimenangi oleh Pas dan bukannya milik calon yang lompat parti.

Wan Romai (kanan) semasa Program Ngopi bersama penduduk dan turun padang di Kampung Alor Senibong dalam Parlimen Pokok Sena pada Rabu.
Wan Romai (kanan) semasa Program Ngopi bersama penduduk dan turun padang di Kampung Alor Senibong dalam Parlimen Pokok Sena pada Rabu.

Ditanya sama ada bekas pemain bola sepak Kedah, Radhi Mat Din akan kembali dicalonkan semula oleh Pas untuk bertanding di Parlimen Pokok Sena pada PRU15, Wan Romaini menjelaskan perkara tersebut bakal diputuskan di peringkat kepimpinan pusat.

Artikel Berkaitan:

"Saya nak sebut tapi tidak boleh mendahului kepimpinan Pas pusat, tetapi kita akan meletakkan tokoh lebih hebat, yang akan menandingi lebih hebat daripada Mahfuz.

"(Jika dicalonkan) Radhi pun tidak kurang hebat berbanding Mahfuz sebab ada pengaruhnya sendiri terutamanya di kalangan pengundi 18 tahun ini. Insya-Allah kita serah kepada kepimpinan untuk pilih tokoh yang akan mewakili Pas bertanding di Parlimen Pokok Sena," ujar beliau lagi.

Pada PRU14, Mahfuz menang dengan majoriti 5,558 undi selepas mengumpul 28,959 undi untuk menewaskan Radhi (23,401 undi) dan Datuk Said Ali Syed Rastan (18,390 undi) dari BN.