Bomba selamatkan tiga lelaki terperangkap dalam kebakaran

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bomba berjaya menyelamatkan tiga lelaki warga asing yang terperangkap apabila tingkat tiga sebuah rumah kedai di Jalan Datuk Haji Eusoff di sini terbakar awal pagi Jumaat.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul, Mohd Alhafiz Asmuni berkata, sebaik menerima panggilan daripada orang awam pada 1.31 pagi, pihaknya menggerakkan 32 anggota dan jentera dari BBP Sentul, Jalan Hang Tuah dan Titiwangsa yang tiba di lokasi lapan minit kemudian.

"Sewaktu anggota menaiki tangga kedai untuk ke tingkat tiga, bomba terserempak dengan dua mangsa dan membawa mereka turun ke tingkat bawah. Mereka memaklumkan terdapat seorang lagi rakan terperangkap di tingkat tiga," katanya ketika dihubungi Bernama pada Jumaat.

Beliau berkata, selepas menyelamatkan mangsa ketiga itu, operasi pemadaman dilakukan dari luar bangunan bagi mengawal api daripada merebak sebelum kebakaran dapat dikawal sepenuhnya pada 1.52 pagi.

Katanya, kebakaran itu melibatkan dua bilik yang didiami pekerja asing manakala punca kebakaran dan kerugian masih disiasat.

Menurut Alhafiz, ketiga-tiga mangsa yang tidak fasih berbahasa Melayu mahupun Inggeris itu enggan dibawa ke hospital dan hanya menerima rawatan awal daripada pasukan perubatan Hospital Kuala Lumpur di lokasi. - Bernama

Artikel Berkaitan: