MA63 bukan 'kontrak sosial', tidak harus dipandang ringan

Mohd Shafie
Mohd Shafie
A
A
A

KOTA KINABALU - Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bukan "kontrak sosial” tetapi satu dokumen antarabangsa diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi pembentukan Malaysia dan ia tidak seharusnya dipandang ringan, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Mohd Shafie berkata hak-hak Sabah dan Sarawak terkandung dalam MA63 tidak boleh dan tidak sepatutnya dipolitikkan.

"MA63 satu-satunya warisan peninggalan bapa-bapa kemerdekaan yang mahukan kesejahteraan Malaysia berterusan dan ia adalah dokumen rasmi yang memberi legitimasi kepada kewujudan Sabah sekali gus pembentukan Malaysia itu sendiri.

Perjanjian ini berbeza berbanding dengan "kontrak sosial” yang kerap di war-war di seluruh negara. MA63 ini juga bersabit dengan hak-hak rakyat Sabah dan bukan bahan politik yang boleh dipercaturkan untuk mendapatkan kuasa,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kenyataan itu merupakan sebahagian daripada intipati ucapan Mohd Shafie ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 bacaan kali kedua bagi mengembalikan semula Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi yang sama dalam Persekutuan Malaysia di Parlimen hari ini.

RUU itu telah dibentangkan pada minggu lepas, dan pada hari ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyusun semula pindaan berkenaan untuk mengembalikan perkataan asal dikeluarkan apabila Perkara tersebut dipinda pada 1976.

Ketika menyokong pindaan yang disusun semula itu, Mohd Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna berkata pindaan berkenaan adalah satu langkah bagi mengembalikan semula hak-hak Sabah yang masih belum tertunai seperti minyak dan pendapatan.

Sehubungan itu, Mohd Shafie berharap tiada mana-mana pihak cuba mempolitikkan pindaan berkenaan demi meraih keuntungan peribadi dan mendapatkan kuasa. -Bernama

Artikel Berkaitan: