Agihan kerusi PN Terengganu berdasarkan status quo

Ariffin Deraman
Ariffin Deraman
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Agihan kerusi Parlimen antara parti komponen Perikatan Nasional (PN) Terengganu masih mengambil kira status quo iaitu mengekalkan kerusi-kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Pengarah Pilihan Raya Pas Terengganu, Ariffin Deraman berkata, daripada keseluruhan lapan kerusi Parlimen di negeri itu, secara asasnya tujuh kerusi didominasi Pas manakala satu kerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

"Kita mengambil asas status quo iaitu tujuh kerusi Pas dan satu kerusi Bersatu di Parlimen Hulu Terengganu yang mana sebelum ini disandang Datuk Rosol Wahid yang bertanding atas tiket BN sebelum berhijrah ke parti Bersatu.

"Bagaimanapun, saya yakin Bersatu akan ada tuntutan mereka lagi dan kita serahkan sebarang keputusan kepada presiden-presiden parti untuk menentukan berapa kerusi yang akan ditandingi Bersatu dan Pas di Terengganu," kata pada sidang akhbar di Pusat Media PN Terengganu, di sini, pada petang Khamis.

Menurut Ariffin, kerusi Parlimen Hulu Terengganu hampir pasti menjadi milik Bersatu manakala satu lagi kerusi yang disebut-sebut menjadi idaman Bersatu iaitu di Parlimen Besut masih belum diputuskan.

Katanya, dari segi pemilihan calon, mungkin akan ada calon muka baharu yang akan ditampilkan namun belum boleh diumumkan sebelum diputuskan oleh pucuk pimpinan parti dan hari penamaan calon.

Ariffin memberitahu, Pas dan Bersatu Terengganu telah membentuk kerjasama baik dalam agihan kerusi Parlimen yang akan ditandingi PN di Terengganu.

"Oleh kerana Pas telah berkompromi dengan Bersatu di bawah PN, apa sahaja keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan parti kita akan akur.

Artikel Berkaitan:

"Jentera Pas juga akan memberikan sokongan dan bekerja kuat untuk memastikan PN menang di semua kerusi-kerusi Parlimen Terengganu," jelas beliau.

Ujarnya, berhubung lambang yang akan digunakan pada PRU15, kesemua calon PN di negeri itu telah sepakat menggunakan logo bulan.

Pada PRU14, Pas memenangi enam daripada lapan kerusi Parlimen Terengganu iaitu Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman manakala dua lagi dimenangi BN iaitu di Hulu Terengganu dan Besut.