Semua parti boleh letak sasaran, penentu hari mengundi

Muhammad Sanusi ketika berucap pada majlis MoU Kedah Aerotropolis di Wisma Darul Aman pada Khamis.
Muhammad Sanusi ketika berucap pada majlis MoU Kedah Aerotropolis di Wisma Darul Aman pada Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR - Mana-mana parti politik boleh meletakkan sasaran jumlah kerusi boleh dimenangi termasuk parti lawan yang berhasrat 'merampas' kerusi disandang wakil rakyat kerajaan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, mereka boleh membuat pelbagai andaian namun penentunya hanya akan diketahui pada hari mengundi kelak.

Menurutnya, perkara itu akan ditentukan oleh rakyat yang akan memilih wakil rakyat untuk 'suara' mereka didengari di peringkat Parlimen.

Siapa yang nak bertanding dalam pilihan raya, semua pihak boleh cakap apa saja. Mahu berapa kerusi untuk menang, cakap sajalah.

"Realitinya hanya berlaku di hari pengundian, rakyat akan buat pilihan. Malam itu tahu keputusan siapa menang, esok boleh tahu siapa yang gelak atau teriak (menangis)," katanya pada sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) Kedah Aerotropolis di Wisma Darul Aman di sini, pada Khamis.

Pada Rabu, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin BN mampu menyasarkan sekurang-kurangnya 11 kerusi Parlimen untuk dimenangi di Kedah dalam PRU15 akan datang.

Ahmad Zahid berkata, jumlah itu diyakini mampu dicapai selepas melihat kepada sokongan pengundi dan rakyat Kedah yang mahukan perubahan.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi menegaskan, sokongan rakyat terhadap Pas di Kedah tidak dilihat merosot seperti didakwa beberapa pihak termasuk UMNO.

Artikel Berkaitan:

"Saya tak nampak pun seperti (sokongan merosot) itu," ujarnya.

Mengulas mengenai agihan kerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah bagi menghadapi saingan PRU15 yang dijangka lebih sengit, Muhammad Sanusi berkata, rundingan agihan kerusi antara Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sudahpun selesai dimuktamadkan.

"Selesai sudah, cuma belum boleh didedahkan lagi buat masa ini. Tunggu hari penamaan calon nanti tahulah agihan," katanya lagi.

Pada PRU14, Pas memenangi tiga kerusi Parlimen, iaitu di Sik, Jerai dan Pendang. Manakala tiga kerusi yang sebelum ini dimenangi Bersatu, iaitu Langkawi, Jerlun dan Kubang Pasu bertukar milik kepada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) apabila penyandangnya menubuhkan parti baharu.

BN menguasai dua kerusi di Parlimen Padang Terap dan Baling. Selebihnya milik Pakatan Harapan, iaitu enam dimenangi PKR dan satu kerusi oleh Parti Amanah Negara (Amanah)

Mengulas mengenai tarikh pilihan raya yang ditetapkan pada 19 November, beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat berkata, tempoh itu memadai namun melahirkan kebimbangan sekiranya beberapa negeri dilanda banjir lebih awal.

"Kita bimbang kalau berlaku banjir yang di luar jangkaan. Tak bagi bubar, ada pihak nak juga bubar, jadi kena bersedia dan cepatlah," katanya.