Pearly-Thinaah hampir kejutkan juara dunia

Pearly (kanan) dan Thinaah terpaksa akur tewas kepada juara dunia dalam saingan Terbuka Denmark di Odense pada Khamis. - Foto FB BAM
Pearly (kanan) dan Thinaah terpaksa akur tewas kepada juara dunia dalam saingan Terbuka Denmark di Odense pada Khamis. - Foto FB BAM
A
A
A

PUJIAN harus diberikan kepada beregu utama wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah yang hampir menewaskan juara dunia dari China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan pada pusingan kedua Terbuka Denmark di Odense, sebentar tadi.

Gandingan yang menduduki ranking ke-11 dunia itu memberi saingan sengit sehingga membawa permainan ke set penentuan, namun terpaksa akur tewas 21-18, 20-22, 21-17 dalam tempoh 73 minit perlawanan.

Pearly-Thinaah cuba menyaingi pasangan pilihan pertama kejohanan itu pada set pertama, namun ketangkasan mereka belum cukup untuk mengalahkan lawan apabila tewas 21-18.

Bagaimanapun pemenang pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu bangkit pada set kedua untuk meraih kemenangan 22-20 sekali gus mengheret permainan sehingga ke set penentuan.

Seakan berpeluang untuk melakar kejutan, namun gandingan negara dipisahkan oleh pengalaman untuk melepaskan kemenangan kepada pasangan China dengan keputusan 21-17.

Biarpun gagal melangkah ke suku akhir, kredit harus diberikan kepada mereka, lebih-lebih lagi Pearly yang baru pulih daripada kecederaan hamstring yang tetap mempamerkan semangat melawan yang tinggi.

Pemain berusia 22 tahun itu mengalami kecederaan ketika beraksi di Terbuka Jepun awal bulan lalu.

Peluang Pearly-Thinaah untuk menebus kekecewaan di Odense masih terbuka apabila mereka dijangka membuat penampilan di Terbuka Perancis di Paris bermula pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Selepas itu mereka akan ke Jerman bagi mengharungi saingan Terbuka Hylo dari 1 hingga 6 November.

Dalam pada itu, pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong menepati ramalan selaku pilihan utama apabila mengesahkan kemaraan ke suku akhir Masters Indonesia.

Tze Yong merakam kemenangan ke atas rakan senegara, Shaqeem Shahyar 21-16, 21-13 dalam aksi pusingan kedua yang berlangsung di Malang.

Pemenang pingat perak Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu akan berdepan seorang lagi pemain negara yang kini bergerak secara profesional, Cheam June Wei bagi perebutan tiket ke separuh akhir pada Jumaat.

June Wei yang merupakan pilihan ketujuh kejohanan lolos ke kelompok lapan terbaik selepas mengecewakan pemain Korea Selatan, Min Seon Jung 21-13, 13-21, 21-16.