Bersatu tanding semua kerusi di Parlimen Gopeng

Razman (dua dari kiri) ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PN Parlimen Gopeng di Dewan Bandaran Gopeng di sini pada malam Rabu.
Razman (dua dari kiri) ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PN Parlimen Gopeng di Dewan Bandaran Gopeng di sini pada malam Rabu.
A
A
A

GOPENG - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Parlimen Gopeng akan bertanding di semua kerusi di dalam Parlimen Gopeng pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di bawah tiket Perikatan Nasional (PN).

Pengerusi Bersatu Gopeng, Ahmad Ishak berkata, selain kerusi Parlimen Gopeng, tiga lagi kerusi itu ialah Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rapat, DUN Simpang Pulai dan DUN Teja.

Menurutnya, semua nama calon telah dikemukakan dan pengumuman rasmi mengenai perkara tersebut akan diumumkan sendiri oleh pimpinan tertinggi parti tidak lama lagi.

"Kita akan bertanding di semua kerusi di Parlimen Gopeng ini malah di DUN Simpang Pulai kita akan letakkan ahli bersekutu calon India. Mesej kita adalah untuk menunjukkan bahawa kita berbesar hati untuk meletakkan calon dalam kalangan masyarakat India di sini.

"Di Gopeng ini kita ada ramai ahli bersekutu, jadi kita menghargai peranan mereka dalam menggerakkan jentera dan kita akan bergerak secara berpasukan bersama Pas untuk membantu memenangkan calon PN," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PN Parlimen Gopeng di Dewan Bandaran Gopeng pada malam Rabu.

Hadir menyempurnakan majlis tersebut, Timbangan Pengerusi PN Perak yang juga Pesuruhjaya Pas negeri, Razman Zakaria.

Sementara itu, Yang Dipertua (YDP) Pas Kawasan Gopeng, Abu Bakar Hussain ketika berucap pada majlis yang sama mengesahkan bahawa Bersatu akan bertanding di semua kerusi Parlimen Gopeng.

Beliau berkata, Pas Kawasan Gopeng akan membantu memastikan kemenangan PN di kerusi Parlimen itu dan tiga kerusi DUN di dalamnya pada PRU15 nanti.

Artikel Berkaitan:

"Saya sebagai YDP Kawasan Gopeng, saya berjanji bahawa Pas akan memberikan sokong yang padu. Walaupun Pas tak bertanding, tapi Insya-ALLAH semangat berjuang untuk menentang PH dan kalahkan UMNO tetap berkobar-kobar.

"Sekarang kita kena mulakan gerak kerja pilihan raya walaupun calon-calon belum diisytiharkan lagi namun kerja-kerja awal mesti lakukan mulai sekarang. Kami dalam Pas ada pengalaman," ujarnya.

Sementara itu, Razman yang ditemui pemberita selepas majlis itu menjelaskan bukan isu Pas tidak meletakkan calon di Parlimen Gopeng kerana mereka bertanding atas tiket PN.

Menurutnya, sesiapa sahaja yang bertanding atas tiket PN akan diberikan sokongan untuk memastikan kemenangan.

Pada beberapa siri PRU yang lalu, kerusi DUN Sungai Rapat ditandingi oleh Pas malah ketika PRU13 mereka memenangi kerusi berkenaan menerusi Radzi Zainon yang menewaskan calon BN dan bebas dengan majoriti 2,638 undi.