PDRM bukti ketangkasan selesaikan kes culik warga Palestin

Hamzah Zainudin. - Foto Bernama
Hamzah Zainudin. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kejayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyelesaikan kes penculikan seorang lelaki warga Palestin dalam tempoh 48 jam, memperlihatkan kesiapsiagaan pasukan keselamatan itu dalam menjaga keamanan dan keselamatan negara, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata, kejayaan PDRM dalam menyelesaikan kes penculikan berprofil tinggi itu, berikutan kepakaran dan ketangkasan yang dimiliki oleh pasukan berkenaan dalam menangani sebarang ancaman keselamatan.

"Saya ingin ambil kesempatan ini mengucapkan syabas dan tahniah kepada PDRM di bawah kepimpinan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, yang telah berjaya menumpaskan sindiket yang terlibat dalam penculikan ini.

"Selain itu, saya menyeru masyarakat untuk tidak mempolitikkan kes berkenaan, kerana ia bukan hanya melibatkan orang luar tetapi juga membabitkan warga tempatan,” katanya dalam rakaman video ringkas di laman Facebook rasminya malam Rabu.

Hamzah berkata, keselamatan adalah tanggungjawab bersama, maka semua pihak termasuk pemimpin parti-parti politik perlu bekerjasama dan memberikan semangat kepada PDRM untuk terus berjuang mempertahankan keselamatan negara.

Pada 5 Oktober, media melaporkan polis menyelamatkan Omar Z. M. Albelbaisy Raeda, 31, sehari selepas dia diculik oleh individu yang menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire, disyaki didalangi agensi perisikan Israel, Mossad.

Mangsa diselamatkan selepas polis menahan 18 individu dalam operasi berasingan di Kuala Langat, Ampang dan Beranang di Selangor, serta di Melaka bermula 29 September hingga 4 Oktober.

Pada Jumaat lepas, 11 individu termasuk seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan menculik Omar, bagi mendapatkan maklumat berkaitan perisian yang digunakan untuk menggodam telefon bimbit. - Bernama

Artikel Berkaitan: