'Ismail Sabri banyak pengalaman, calon PM terbaik'

Ismail Sabri Yaakob (depan; tiga dari kiri) bergambar bersama para pengunjung pada program Pemantapan Komuniti Bandar Keluarga Malaysia di Tasek Gelugor hari ini. - Foto Bernama
Ismail Sabri Yaakob (depan; tiga dari kiri) bergambar bersama para pengunjung pada program Pemantapan Komuniti Bandar Keluarga Malaysia di Tasek Gelugor hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

TASEK GELUGOR - Pengalaman memegang pelbagai portfolio menteri menjadikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri yang terbaik untuk Malaysia, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Beliau berkata, antara jawatan yang pernah dipegang oleh Ismail Sabri ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani serta Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

"Pengalaman ini membuatkan kerajaan di bawah pimpinannya tidak dipacu secara 'autopilot' dan beliau sentiasa memastikan rakyat terbela termasuk menaikkan subsidi," katanya semasa berucap di Program Pemantapan Komuniti Bandar Keluarga Malaysia yang dirasmikan oleh Perdana Menteri di sini hari ini.

"Bagi memastikan rakyat tidak terus terhimpit, Ismail Sabri melakukan intervensi dan buat kali pertamanya kadar subsidi oleh kerajaan mencecah hampir RM80 billion. Saya harap rakyat terus memberi sokongan kepada beliau untuk menjadi Perdana Menteri pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)," tambahnya.

Beliau berkata, Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri berjaya membuka sempadan negara dan merancakkan semula ekonomi negara, di samping menurunkan kadar pengangguran kepada 3.4 peratus daripada 5.3 peratus.

Sementara itu pelbagai program yang dilaksanakan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) khusus untuk kesejahteraan Keluarga Malaysia diketengahkan oleh Ismail Sabri dalam ucapan perasmiannya di majlis hari ini.

Umpamanya Program Kemampanan Komuniti Bandar (PKKB) yang bertujuan mengimbangi kesan pembangunan pesat dan komuniti bandar, dengan sejumlah RM2.25 juta telah diluluskan oleh kerajaan bagi pelaksanaan PKKB di Semenanjung Malaysia, dan akan diperluaskan ke Sabah dan Sarawak.

Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) pula seperti seperti Program Baik Pulih Rumah di Bandar dan Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar (PEKB) merupakan usaha berterusan KPKT untuk meningkatkan kualiti hidup keluarga berpendapatan rendah yang tinggal di bandar.

Artikel Berkaitan:

Bagi Program Baik Pulih Rumah di Bandar di bawah PPKB, peruntukkan RM6.5 juta disalurkan khusus untuk Keluarga Malaysia di Pulau Pinang yang bakal memberi manfaat kepada 435 orang penerima bantuan perumahan.

PEKB pula merupakan program yang dijalankan dalam komuniti B40 bertujuan meningkatkan kemahiran keusahawanan dan perniagaan, yang menyaksikan pada tahun 2022, seramai 249 peserta program PEKB telah berjaya dilatih di Pulau Pinang.

Selain itu Program Rumah Mesra Rakyat (RMR) yang diperkenalkan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) telah berjaya menyiapkan sejumlah 51,726 unit RMR di seluruh negara termasuk 519 unit RMR di Pulau Pinang. - Bernama