Ahli perniagaan didakwa palsukan borang isytihar barang eksport

Feng Seng (kiri) tiba di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Rabu.
Feng Seng (kiri) tiba di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Rabu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang ahli perniagaan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas 11 pertuduhan memalsukan borang pengisytiharan barang yang akan dieskport dan 11 lagi pertuduhan pilihan mengemukakan invois palsu, tiga tahun lalu.

Feng Seng, 68, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mengikut kesemua pertuduhan utama, lelaki itu didakwa memalsukan borang pengisytiharan barang yang akan dieksport dengan niat ia digunakan untuk tujuan menipu Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Warga emas itu juga menghadapi 11 lagi pertuduhan pilihan iaitu dengan curangnya telah megemukakan invois sebagai tulen untuk dilampirkan bersama borang pengisytiharan barang yang akan dieksport untuk melepaskan barang dagangan.

Kesemua perbuatan itu dilakukan di Cawangan Eksport, Bahagian Perkastaman, Kompleks Kastam dan Imigresen Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Johor Bahru antara 9 Ogos 2019 hingga 10 Febuari 2020.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum bawah Seksyen 465 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan, Mohammad Azriff Firdaus Mohammad Ali sementara tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Mohammad Muzammil Mohammad Hairiri.

Mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM Johor setiap bulan.

Artikel Berkaitan:

Kes disebut semula pada 7 November depan bagi pengurusan kes dan serahan dokumen.