Dagangan Malaysia melonjak kepada RM256.9 bilion

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

PERDAGANGAN Malaysia terus mengekalkan trend peningkatan pada September 2022 apabila melonjak 31.4 peratus kepada RM256.91 bilion berbanding tempoh sama tahun lepas.

Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata, prestasi itu merupakan bulan ke-20 berturut-turut mencatat pertumbuhan dua angka.

Selain itu, eksport bertambah sebanyak 30.1 peratus kepada RM144.31 bilion yang juga bulan ke-14 meraih pertumbuhan dua digit manakala import berkembang sebanyak 33.0 peratus kepada RM112.60 billion.

"Lebihan dagangan Malaysia turut mencatat rekod tertinggi baharu dengan meningkat sebanyak 20.9 peratus kepada RM31.71 bilion,” katanya.

Jumlah tersebut adalah nilai tertinggi bagi September.

MITI berkata, pertumbuhan eksport disumbangkan terutamanya oleh permintaan kukuh bagi barangan elektrik dan elektronik (E&E), keluaran petroleum, gas asli cecair (LNG), petroleum mentah, barangan optik dan saintifik serta jentera, kelengkapan dan peralatan.

Selain itu, eksport barangan E&E, barangan optik dan saintifik serta LNG mencatat nilai bulanan tertinggi setakat ini.

Eksport ke negara-negara rakan dagang utama khasnya ASEAN, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun turut meraih pertumbuhan dua digit.

Artikel Berkaitan:

Malah, eksport ke Jepun mencatatkan nilai eksport bulanan tertinggi setakat ini.

Bagi perbandingan bulan ke bulan, MITI berkata eksport dan lebihan dagangan masing-masing meningkat 2.2 peratus dan 86.1 peratus manakala perdagangan dan import susut sebanyak 3.2 peratus dan 9.4 peratus.

Perdagangan bagi suku ketiga 2022 telah berkembang sebanyak 42.0 peratus kepada RM774.98 bilion berbanding tempoh sama tahun lepas.

"Eksport meningkat 38.3 peratus kepada RM419.65 bilion manakala import naik 46.5 peratus kepada RM355.32 bilion.

"Ini merupakan nilai suku tahunan yang tertinggi bagi perdagangan, eksport dan import. Lebihan dagangan bertambah 5.6 peratus kepada RM64.33 bilion," katanya.

Berbanding suku kedua 2022, segmen perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan masing-masing menokok sebanyak 6.1 peratus, 6.5 peratus, 5.7 peratus dan 10.8 peratus.

MITI berkata, bagi tempoh sembilan bulan pertama 2022, perdagangan menokok 32.9 peratus kepada RM2.130 trilion berbanding tempoh sama tahun lepas.

Eksport meningkat 30.3 peratus kepada RM1.159 trilion dan import berkembang 36.2 peratus kepada RM971.26 bilion.

"Lebihan dagangan berkembang 6.3 peratus kepada RM187.40 bilion. Perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan mencatatkan nilai tertinggi bagi tempoh ini," katanya.

Bagi prestasi eksport mengikut sektor, kementerian itu berkata eksport barangan perkilangan pada September 2022 mencecah nilai tertinggi sebanyak RM122.23 bilion atau 84.7 peratus daripada jumlah eksport yang juga meningkat 28.7 peratus tahun ke tahun.

"Ini merupakan pertumbuhan dua digit yang ke-14 bulan berturut-turut. Barangan E&E, keluaran petroleum, barangan optik dan saintifik serta jentera, kelengkapan dan peralatan masing-masing telah merekodkan kenaikan eksport melebihi RM1 bilion," katanya.

Eksport hasil galian (7.7 peratus syer) melonjak 89.0 peratus tahun ke tahun kepada RM11.10 bilion dan merupakan nilai bulanan tertinggi setakat ini.

Peningkatan tersebut adalah pertumbuhan dua digit ke-18 bulan berturut-turut, yang disokong oleh kenaikan eksport LNG dan petroleum mentah.

Selain itu, MITI berkata eksport keluaran pertanian (7.2 peratus syer) berkembang 8.0 peratus kepada RM10.44 bilion berbanding September 2021, disumbangkan terutamanya oleh pertambahan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit.

"Eksport keluaran pertanian (7.2 peratus syer) berkembang 8.0 peratus kepada RM10.44 bilion berbanding September 2021 disumbangkan terutamanya oleh pertambahan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit," katanya.

Perdagangan dengan pasaran utama menyaksikan dagangan dengan ASEAN meningkat 33.6 peratus tahun ke tahun kepada RM67.85 bilion yang menyumbang 26.4 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia.

MITI berkata, eksport naik 31.5 peratus kepada RM39.97 bilion yang disumbangkan oleh kenaikan eksport barangan E&E dan keluaran petroleum.

Bagi bulan sama, perdagangan dengan China yang menyumbang 17.1 peratus kepada jumlah perdagangan Malaysia, meningkat 14.0 peratus tahun ke tahun kepada RM43.91 bilion dengan eksport ke negara ekonomi kedua terbesar itu merekodkan pertumbuhan lapan peratus kepada RM20.09 bilion disokong oleh pertambahan eksport barangan E&E.

Perdagangan dengan Amerika Syarikat pada September 2022 yang merangkumi 10.4 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia, meningkat 42.5 peratus tahun ke tahun kepada RM26.73 bilion yang juga nilai bulanan tertinggi setakat ini.

"Eksport tumbuh 32.5 peratus kepada RM16.31 bilion, disokong oleh eksport yang kukuh bagi barangan E&E," katanya.

Kementerian itu berkata, perdagangan dengan Jepun yang menyumbang 6.7 peratus daripada jumlah dagangan Malaysia, berkembang 49.5 peratus kepada RM17.11 bilion pada September 2022.

"Selain itu, eksport melonjak 74.6 peratus kepada RM9.93 bilion, disokong oleh pertambahan eksport LNG, barangan E&E dan keluaran petroleum," kata MITI. - Bernama