Melewati Niujie, perkampungan Islam di Beijing

Beberapa penduduk Muslim China yang selesai menunaikan solat secara berjemaah di Masjid Niujie berjalan di sekitar Jalan Niujie.- Foto Bernama
Beberapa penduduk Muslim China yang selesai menunaikan solat secara berjemaah di Masjid Niujie berjalan di sekitar Jalan Niujie.- Foto Bernama
A
A
A

BEIJING - Kesukaran mendapatkan makanan halal khususnya di kota raya ini, mengundang rasa rindu penulis kepada tanah air, di mana segala-gala yang halal begitu mudah diperoleh.

Pada ketika itu, penulis juga tertanya-tanya bagaimana agaknya kehidupan umat Islam yang hanya merangkumi sekitar dua peratus daripada kira-kira 1.4 bilion penduduk di China ini.

Di mana mereka dapatkan sumber makanan halal? Mudahkah mereka beribadat? Soalan-soalan itu antara yang menerjah benak penulis ketika menjejakkan kaki di bumi Beijing ini pada pertengahan Julai lepas. Lebih-lebih lagi carian World Wide Web menemukan pelbagai "kisah” kehidupan umat Islam di negara yang dipimpin oleh Parti Komunis China ini.

Sebenarnya, agama Islam adalah antara sekurang-kurangnya empat agama dan ajaran falsafah yang diiktiraf oleh kerajaan China. Majoriti penduduknya dilapor mengamalkan agama rakyat atau kepercayaan turun-temurun yang diwarisi daripada nenek moyang mereka.

MASJID TERTUA, TERBESAR DI BEIJING

Sejarah merekodkan Islam bertapak di China semasa Dinasti Tang iaitu sekitar 618 Masihi (M) dan disebar luas semasa era Dinasti Song (960 M hingga 1279 M). Justeru, tidak menghairankan jika anda dapat melihat masjid-masjid "berusia” yang masih terjaga baik di sesetengah wilayah termasuk di metropolitan ini.

Di kota raya ini, penulis difahamkan terdapat kira-kira 70 buah masjid dan antara yang terkenal ialah Masjid Dongsi, Masjid Huashi, Masjid Nan Douya dan Masjid Changying. Namun, paling terkenal ialah Masjid Niujie yang merupakan masjid terbesar dan tertua di Beijing.

Kali pertama penulis ke masjid ini ialah pada 2019 semasa mengikuti lawatan anjuran China Public Diplomacy Association. Namun ia cuma kunjungan singkat, dan selepas tiga tahun penulis kembali ke Masjid Niujie bagi menghayati lebih mendalam keindahannya.

Artikel Berkaitan:

Berbekalkan aplikasi peta dalam telefon pintar, penulis menaiki subway - kereta api bawah tanah - menuju ke Niujie yang juga petempatan terbesar umat Islam di Beijing. Ia terletak di daerah kecil Guang’anmen, Xicheng, iaitu di barat daya ibu negara China ini.

Tren yang membawa penulis dari Jianguomen di tengah-tengah kota Beijing tiba di Niujie selepas 40 minit perjalanan. Telefon pintar di tangan, penulis mengorak langkah ke masjid itu. Namun setibanya di situ, alangkah hampanya hati apabila melihat semua pintu masjid bertutup selain papan tanda yang menyatakan ia dalam proses pembaikan.

Dua pengunjung warga Switzerland yang berkongsi tujuan dengan penulis mengambil keputusan untuk kembali ke Beijing. Namun keinginan kuat mahu memijak lantai masjid buat kali pertama selepas sebulan di China serta menunaikan solat zuhur yang waktunya bakal tiba dalam tempoh sejam lagi, mendorong penulis untuk "mencuba nasib” menunggu.

Nyata tuah bersama penulis apabila tidak lama kemudian keluar seorang lelaki berkopiah dari masjid itu. Rupa-rupanya dia petugas masjid.

"Mǎláixīyà (Malaysia),” kata penulis kepada lelaki dalam lingkungan 70-an yang dikenali sebagai Wang itu, dan alhamdulillah, tanpa disangka dia membenarkan penulis masuk.

Sebaik melangkah masuk, satu perasaan damai menyelubungi penulis. Kelihatan beberapa orang lelaki, kebanyakannya warga emas yang berkopiah atau berjubah putih, sedang berbual sambil menunggu waktu solat - pemandangan yang tidak jauh bezanya dengan masjid di tanah air.

"Assalamualaikum.” Penulis disapa oleh seorang imam di masjid berkenaan. Ucapan salam itu benar-benar menyentuh hati penulis kerana ia bagaikan penghubung dan lambang persaudaraan sesama Islam yang merentasi bangsa.


Masjid Niujie yang terletak di daerah kecil Guang'anmen, Xicheng, merupakan masjid tertua dan terbesar di Beijing. - Foto Bernama
Masjid Niujie yang terletak di daerah kecil Guang'anmen, Xicheng, merupakan masjid tertua dan terbesar di Beijing. - Foto Bernama

Penulis hanya mampu menjawab salam dan melemparkan senyuman dek kekangan bahasa.

MASJID ENAM ZAMAN

Sementara menunggu masuk waktu zuhur, penulis mengambil peluang meninjau binaan itu dan perkarangannya. Difahamkan dibina pada 996 M, Masjid Niujie merupakan tumpuan pelancong, namun buat masa ini ia masih belum dibuka sepenuhnya kepada pelawat disebabkan pandemik Covid-19.

Sepintas lalu, reka bentuk masjid mengangkat elemen seni bina Cina. Ia didominasi warna merah termasuk pada pagar, dinding dan pintu.

Menjengah ke ruang solat utama yang berukuran 600 meter persegi dan boleh memuatkan lebih 1,000 jemaah pada satu-satu masa, kelihatan tulisan khat Arab dan Cina menghiasi segenap ruang.

Di bahagian luar masjid terdapat menara, bilik kuliah untuk pembelajaran agama, struktur menara dua tingkat berbentuk pagoda yang berperanan sebagai balai cerap, kedai cenderahati dan pejabat imam.

Mengikut sejarah, masjid yang dibina pada zaman Dinasti Liao dan diperbuat daripada kayu balak ini dinamakan ‘Libaisi’ pada 1474 M, meliputi kawasan seluas 10,000 meter persegi, menggabungkan ciri-ciri binaan Cina, Arab klasik dan istana maharaja China.

Masjid ini bertahan merentasi enam era pemerintahan bermula dari Dinasti Liao, Dinasti Song, Dinasti Yuan, Dinasti Ming, Dinasti Qing hingga era China moden sekarang.

Dalam tempoh itu, ia melalui beberapa pengubahsuaian, misalnya pada 1955 dan 1979, serta pembaikan besar-besaran pada 1996 bersempena ulang tahun ke-1,000, selain pembaikan terbaharu beberapa tahun lepas.

Berdasarkan paparan maklumat di masjid, Masjid Niujie adalah ‘Key Point of Cultural Heritage and Relic’ (tapak warisan budaya dan relik utama) di bawah perlindungan peringkat negeri sejak 13 Jan 1988.

Keindahan Masjid Niujie turut diakui oleh rakan wartawan dari Indonesia Marshalina Gitafadilla Munir kepada penulis semasa kami mengunjungi masjid itu beberapa minggu kemudian.

"Ini pertama kali saya ke Masjid Niujie dan ternyata sangat menakjubkan dengan nuansa yang asli, terutama dari segi seni bina dan reka bentuk, sekali gus membuktikan syiar Islam di China,” kongsinya.

Sedang asyik mengambil video dan gambar di masjid berkenaan, penulis disapa oleh seorang wanita berusia dalam lingkungan 60-an. Hanya menggunakan isyarat tangan dan tubuh, penulis memahami komunikasi wanita itu yang mahu membawa penulis ke ruang solat wanita dan ruang wuduk.


Masjid Niujie yang terletak di daerah kecil Guang'anmen, Xicheng, merupakan masjid tertua dan terbesar di Beijing. - Foto Bernama
Masjid Niujie yang terletak di daerah kecil Guang'anmen, Xicheng, merupakan masjid tertua dan terbesar di Beijing. - Foto Bernama

Di sebalik kekangan bahasa, dia sabar mengiringi penulis sambil mengukir senyum. Mungkin tahu penulis adalah pelawat yang datang dari jauh.

SYURGA MAKANAN HALAL

Hanya kami berdua jemaah wanita yang menunai solat zuhur. Di ruang solat lelaki, terdapat kira-kira 50 jemaah. Rata-rata adalah warga emas.

Usai solat, penulis bertemu semula dengan Wang. Kali ini dengan bantuan aplikasi terjemahan pada telefon pintar, penulis memaklumkan kepadanya yang penulis gembira dapat bersolat di masjid itu serta berhasrat untuk datang semula membawa rakan.

Wang cuma mengangguk, tersenyum dan memberikan isyarat tangan 'bagus'.

Tidak mahu mensia-siakan waktu, penulis mengambil keputusan berjalan-jalan di sekitar Jalan Niujie berhampiran masjid. Tip yang dikongsikan oleh penduduk setempat ialah jika bangunan atau premis berwarna hijau, ia menyajikan makanan halal, dan syukurlah kebanyakan bangunan di situ berwarna hijau selain perkataan Cina yang juga bermaksud "halal” dipaparkan.

Hampir kesemua kedai dan gerai menjual makanan ringan, antaranya pau daging kambing dan lembu, pai daging lembu, sup kacang, kek beras baiji dan pelbagai roti berintikan daging. Masing-masing juga menyaksikan orang ramai beratur menunggu giliran untuk beli makan di situ mahupun "tapau”.

Sekalipun barisan orang yang beratur agak panjang, penulis tidak menunggu lama untuk membeli pau daging kambing dan lembu, iaitu makanan paling popular, kerana kepantasan pekerja dan penggunaan sistem bayaran tanpa tunai.

'Niujie' secara harfiahnya bermaksud Jalan Lembu. Kawasan ini sebenarnya merupakan tumpuan umat Islam di sekitar Beijing untuk mendapatkan daging lembu dan kambing yang disembelih secara halal. Malah daging di sini juga dikatakan antara yang terbaik di Beijing.

Terdapat juga beberapa restoran etnik Uighur dari Xinjiang di sini yang menghidangkan pelbagai jenis makanan mereka, dan antara yang terkenal ialah sate kambing.

"Ketika Ramadan, kawasan Niujie amat meriah dengan orang ramai membeli daging halal dan berkunjung ke Masjid Niujie untuk sama-sama berbuka puasa,” kata seorang penduduk setempat.

Penulis turut berkesempatan merasa sate kambing yang penulis akui "memang sedap” kerana dagingnya lembut serta "cukup rasa”.

KOMUNITI ISLAM DI CHINA

Selain orang Hui, komuniti Islam di China juga terdiri daripada etnik Uighur, Kazak, Kirgiz, Uzbek, Tatar, Tajik, Dongxiang, Salad dan Bao’an.

Orang Hui adalah kumpulan terbesar umat Islam di China, diikuti oleh Uighur. Kedua-dua etnik ini membentuk kira-kira 90 peratus daripada keseluruhan penduduk Islam di China yang dianggar seramai 25 juta orang.

Populasi terbesar umat Islam di China ialah di Xinjiang, Gansu, Qinghai dan Yunnan.

Wilayah Xinjiang mempunyai penduduk Islam terbesar di China dengan kira-kira 50 peratus penduduknya beragama Islam.

Perkara 36 Perlembagaan China menyatakan bahawa rakyat "menikmati kebebasan beragama” termasuk Islam. Ini disokong oleh kewujudan kira-kira 30,000 masjid di seluruh China, menurut Prof Ma Junyi, penyelidik kanan di Institut Etnologi dan Antropologi, Akademi Sains Sosial China, dalam syarahannya baru-baru ini. - Bernama