Malaysia mudah atasi cabaran Latvia di Sepanyol

Fazriq Razif-Wong Vin Sean menewaskan Edzus Meirans-Rihards Zugs 21-11, 21-7 dalam aksi Kumpulan A Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Remaja Dunia 2022.
Fazriq Razif-Wong Vin Sean menewaskan Edzus Meirans-Rihards Zugs 21-11, 21-7 dalam aksi Kumpulan A Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Remaja Dunia 2022.
A
A
A

MALAYSIA meneruskan rentak cemerlang Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Remaja Dunia 2022 apabila melakar kemenangan kedua setelah menewaskan Latvia 5-0 dalam saingan Kumpulan A di di Santander, Sepanyol.

Pada aksi di Paalcio de Deportes de Santander itu, skuad remaja negara meraih mata pertama menerusi beregu campuran Choi Jian Sheng-Lai Ting Cen yang mengecewakan Rihards Zugs-Arina Babre 21-12, 21-8.

Pemain perseorangan lelaki Justin Hoh melebarkan jurang kemenangan pasukan negara apabila meraih kemenangan mudah ke atas Toms Salam 21-4, 21-3.

Kemenangan itu nyata menyemarakkan seorang lagi pemain perseorangan wanita Siti Nurshuhaini Azman yang menyumbang mata ketiga apabila melakar kemenangan 21-10, 21-8 ke atas Anna Kupca.

Gandingan Muhammad Fazriq Mohamad Razif-Wong Vin Sean melebarkan mata buat skuad negara selepas menundukkan beregu lelaki Latvia, Edzus Meirans-Rihards Zugs 21-11, 21-7.

Beregu wanita Ong Xin Yee-Carmen Ting melengkapkan kemenangan berjaya pasukan negara apabila menewaskan Arina Babre-Anna Kupca 21-4, 21-8.

Sementara itu, juara bertahan Indonesia mudah mengalahkan Sweden 5-0 sebelum ini akan berdepan Malaysia bagi merebut slot ke suku akhir.

Untuk rekod, juara kumpulan akan mara ke suku akhir manakala naib juara pula berentap dalam penentuan tempat 9 hingga 16.

Artikel Berkaitan:

Tempat ketiga akan bersaing merebut tempat 17 hingga 24 manakala tempat keempat dan kelima masing-masing akan menentukan kedudukan 24 hingga 32 dan 33 hingga 38.