Jang selesa merendah diri

Negeri Sembilan akan berdepan Kedah Darul Aman dalam perlawanan pertama pusingan 16 Piala Malaysia di Alor Setar pada 26 Oktober ini. -Foto: Negeri Sembilan Football Club
Negeri Sembilan akan berdepan Kedah Darul Aman dalam perlawanan pertama pusingan 16 Piala Malaysia di Alor Setar pada 26 Oktober ini. -Foto: Negeri Sembilan Football Club
A
A
A

NEGERI Sembilan FC (NSFC) enggan meletakkan harapan terlalu tinggi sebaliknya mahu fokus bertemu Kedah Darul Aman (KDA) FC pada aksi pertama Pusingan 16, Piala Malaysia 2022 minggu depan.

Pengendalinya, K Devan mengakui NSFC diletakkan sebagai pasukan pilihan berdasarkan prestasi semasa para pemain, namun enggan memandang mudah cabaran pihak lawan kerana saingan piala berprestij itu berbeza berbanding kempen Liga Super.

“Buat masa ini, saya hanya fikirkan saingan dengan Kedah terlebih dahulu. Kita hendak layak ke suku akhir sebagai objektif dan mungkin selepas itu semangat pemain akan terus meningkat,” katanya.

Bagi aksi pertama, skuad Hobin Jang Hobin akan bertandang ke Alor Setar pada 26 Oktober sebelum melayan kunjungan skuad Sang Kenari di Paroi pada 1 November.

Musim ini, format Piala Malaysia akan menampilkan perlawanan pusingan 16 pasukan terbaik diadakan secara timbal balik disusuli aksi suku akhir (timbal balik).

Seterusnya perlawanan separuh akhir (timbal balik) dengan aksi final berlangsung di venue berkecuali pada 26 November depan.

Devan juga berharap pencapaian cemerlang di tangga keempat Liga Super musim ini menjadi pembakar semangat buat anak buahnya untuk mempamerkan aksi cemerlang dalam saingan itu nanti.

Katanya, sekiranya momentum kecemerlangan itu dapat diteruskan, tidak mustahil NSFC mampu mara dengan lebih jauh di dalam saingan tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Setelah tamat saingan Liga Super, kita menduduki tempat keempat dan ini semestinya akan memberi keyakinan kepada pasukan.

“Mereka boleh menilai keupayaan pasukan ini. Ia akan membantu kita di saingan Piala Malaysia dan saya pasti pemain-pemain akan menunjukkan prestasi yang baik,” katanya.

Pengendali berusia 61 tahun itu juga berharap agar tempoh persiapan sebelum aksi itu dapat digunakan oleh para pemain untuk meningkatkan kualiti permainan mereka.

“Kita tahu saingan Piala Malaysia mempunyai sejarah tersendiri dan pertandingan yang terakhir untuk musim ini. Jadi saya rasa mereka boleh memberi fokus untuk pertingkatkan prestasi individu di saingan Piala Malaysia,” katanya.



PIALA MALAYSIA 2022

Pusingan 16

Perlawanan Pertama

RABU 26 OKTOBER

UiTM FC lwn Sabah FC

(Std UiTM, Shah Alam, 8.15 malam)

Sarawak United lwn Kelantan FC

(Std Negeri, 8.15 malam)

Kelantan United lwn Selangor FC

(Std Sultan Muhammad IV, 8.15 malam)

Penang FC lwn Kuching City

(Std Bandaraya, 9 malam)

PJ City FC lwn JDT

(Std Majlis Bandaraya Petaling Jaya, 9 malam)

KDA FC lwn Negeri Sembilan FC

(Std Darul Aman, 9 malam)



KHAMIS (27 OKTOBER)

PDRM FC lwn KL City FC

(Std Bola Sepak Kuala Lumpur, 9 malam)

Sri Pahang lwn TFC

(Std Darul Makmur, 9 malam)