Terbuka Denmark: Aaron enggan pandang mudah lawan

Aaron (kanan) dan Wooi Yik akan menentang pasangan Jerman pada Terbuka Dermark esok. -Foto Agensi.
Aaron (kanan) dan Wooi Yik akan menentang pasangan Jerman pada Terbuka Dermark esok. -Foto Agensi.
A
A
A

GELARAN juara dunia bukan tiket buat pemain badminton beregu nombor satu negara, Aaron Chia untuk mendabik dada apabila turun beraksi pada Kejohanan Badminton Terbuka Denmark esok.

Enggan memandang rendah pihak lawan, pemain kelahiran Melaka itu selesa merendah diri tanpa meletakkan sasaran pada kejohanan tersebut.

Aaron berkata, pesaingnya akan turun lebih tangkas yang mendorong dia dan Soh Wooi Yik membuat persediaan lebih rapi untuk mara ke pusingan seterusnya.

Dia juga percaya, pendekatan fokus terhadap setiap perlawanan tanpa meletakkan sasaran tertentu mampu mengulangi kejayaan merangkul gelaran di Kejohanan Dunia di Tokyo, Ogos lepas.

"Saya hanya mahu berikan aksi terbaik di Denmark. Secara jujur, saya tidak suka bercakap mengenai sasaran sebab tidak ada guna kerana aksi di dalam gelanggang lebih penting.

"Kalau setiap kali asyik bercakap mahu layak ke separuh akhir atau akhir, tetapi gagal lakukannya, sama sahaja.

"Oleh itu, lebih baik kita layak dahulu, kemudian baru cakap," katanya.

Mereka yang berada di ranking keempat dunia dijadualkan menentang beregu Jerman, Mark Lamsfuss-Marvin Seidel di pusingan pertama esok.

Artikel Berkaitan:

Aaron-Wooi Yik dalam momentum terbaik untuk mengulangi pencapaian gemilang selepas hampir dua bulan berehat tanpa sebarang kejohanan kompetitif sebelum ke Terbuka Denmark.

Pemain berusia 25 tahun itu menyifatkan kejuaraan dunia yang dimenangi sebelum ini tidak memberikan sebarang kelebihan kepada mereka.

"Semuanya akan bermula daripada kosong dan kami tidak ada apa-apa pun. Oleh itu, saya hanya mahu tampilkan aksi terbaik dalam setiap kejohanan selepas ini," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!