Cubaan heret Belarus ke dalam konflik Rusia-Ukraine

Minsk dan Moscow akan menubuhkan pasukan gabungan baharu yang akan mengawal sempadan Belarus. - Foto AFP
Minsk dan Moscow akan menubuhkan pasukan gabungan baharu yang akan mengawal sempadan Belarus. - Foto AFP
A
A
A

MOSCOW - Seramai 9,000 tentera Rusia bersama kira-kira 170 kereta kebal akan dikerahkan ke Belarus yang merupakan sekutu rapat Moscow sebagai usaha menubuhkan pasukan gabungan baharu.

Kementerian Pertahanan di Minsk pada Isnin mengumumkan penubuhan pasukan bertujuan untuk mempertahankan sempadan negara itu daripada ancaman Ukraine setelah siri kekalahan yang dihadapi Rusia.

"Kremlin juga akan menghantar sehingga 200 kenderaan perisai dan 100 senjata serta mortar dengan kaliber melebihi 100 milimeter," ujar penasihat kementerian itu, Valeri Revenko.

Menurutnya, unit tentera dari Rusia akan ditempatkan di empat kemudahan latihan di tengah dan timur Minsk untuk menjalani latihan tempur serta tembakan peluru antimisil.

Pada minggu lalu, Presiden Belarus, Alexander Lukashenko mendakwa Kiev merancang untuk menyerang negara Eropah Timur itu dan turut mengumumkan penubuhan pasukan bersama Moscow.

Sementara itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy melihat 'kerjasama ketenteraan' itu sebagai cubaan untuk mengheret Belarus ke dalam konflik Moscow-Kiev.

Dalam perkembangan berkaitan, sekurang-kurangnya 13 mangsa penumpang termasuk tiga kanak-kanak terkorban manakala 19 lagi cedera selepas pesawat tentera dinaiki mereka terhempas di kawasan penempatan di Yeysk, sebuah bandar berhampiran sempadan Ukraine.

Nahas melibatkan Sukhoi Su-34 itu turut menyebabkan kebakaran besar di sebuah bangunan setinggi sembilan tingkat yang dihuni kira-kira 600 penduduk.

Artikel Berkaitan:

Siasatan awal mendapati salah sebuah enjin pesawat era-Soviet itu terbakar sejurus ia berlepas dan juruterbang dilaporkan sempat menyelamatkan diri.

Difahamkan, jawatankuasa penyiasat Rusia telah melancarkan siasatan jenayah bagi mengetahui punca sebenar nahas itu - AFP