Isteri ketiga didakwa serang isteri keempat dengan parang

Che Ruslyzay Shawaratuaini diiringi polis sebaik tiba di mahkamah.
Che Ruslyzay Shawaratuaini diiringi polis sebaik tiba di mahkamah.
A
A
A

KUALA PILAH - Seorang wanita yang juga isteri ketiga didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas pertuduhan mencederakan madunya yang juga isteri keempat dengan parang, Sabtu lalu.

Tertuduh, Che Ruslyzay Shawaratuaini Che Roslan, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Norma Ismail selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, Che Ruslyzay Shawaratuaini yang merupakan seorang penternak kambing didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera ke atas mangsa yang berusia 41 tahun menggunakan parang.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada jam 4.30 petang, 15 Oktober lalu di hadapan sebuah rumah di Felda Lui Timur, Jempol.

Berikutan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326 A Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi tidak menawarkan sebarang jaminan dan memberitahu tertuduh dan mangsa adalah bermadu.

Katanya, tertuduh merupakan isteri ketiga dan mangsa, isteri keempat.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memberitahu, dia bertindak berkenaan kerana mahu mempertahankan diri.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan tertuduh tidak dibenarkan mendekati mangsa serta pasport diserahkan kepada mahkamah.

Sebutan semula kes berkenaan ditetapkan pada 5 Disember ini.