Malaysia akan laksana kaedah percukaian dua tonggak pada 2024

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul
A
A
A
MALAYSIA telah bersetuju untuk melaksanakan "pendekatan dua tonggak” dalam percukaian untuk mewujudkan persekitaran berdaya saing bagi pelaburan langsung asing dan domestik, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Pendekatan itu, yang turut mencegah pengelakan cukai rentas sempadan sedang dikaji pada masa ini dan dianggarkan bermula pada 2024, katanya dalam ucap tama pada Mesyuarat Tahunan ke-51 Kumpulan Kajian Mengenai Pentadbiran dan Penyelidikan Cukai Asia Pasifik (SGATAR) 2022 di sini pada Selasa.

Pendekatan dua tonggak itu berpandukan kepada inisiatif Hakisan Asas dan Peralihan Keuntungan (BEPS) 2.0 oleh Pertubuhan bagi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) dan G20.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan berhasrat untuk memperkenalkan sistem invois elektronik (e-invois) secara berperingkat mulai tahun depan untuk meningkatkan kecekapan sistem cukai kerajaan.

"Pelaksanaan e-invois ini akan turut membantu pelaksanaan ekosistem perniagaan elektronik yang mampan dan menyediakan jejak audit lebih dipercayai, sekali gus meningkatan ketelusan cukai, dan dilihat sebagai antara strategi utama untuk menaikkan hasil cukai,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, ini akan melengkapkan satu daripada sasaran kerajaan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 iaitu mendigitalkan 90 peratus daripada operasi PKS menjelang 2025.

"Pelaksanaan e-invois juga akan menyokong penggunaan Nombor Pengenalan Cukai yang wajib dilaksanakan untuk semua dokumen dan instrumen.



"Ini akan menjadi satu langkah untuk meluaskan kutipan cukai pendapatan, memastikan sumber hasil yang mampan kepada kerajaan,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, pelaksanaan itu juga konsisten dengan laporan OECD mengenai pengenalan diri digital pembayar cukai yang memperakui ciri tersebut sebagai antara elemen teras bagi pengurusan cukai secara lancar pada masa depan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Datuk Dr Mohd Nizom Sairi berkata, e-invois tersebut akan memperketat ketirisan dalam sistem percukaian dan persiapan bagi pelaksanaannya akan dilaksanakan pada 2023.

"Kita juga berhasrat untuk menjalankan projek rintis yang berkemungkinan pada 2024,” katanya kepada pemberita di luar acara itu.

Beliau berkata, SGATAR telah memainkan peranan penting dalam mengetengahkan satu platform untuk meningkatkan prestasi pentadbiran cukai di rantau Asia Pasifik dengan menggalakkan kerjasama serta komunikasi dalam kalangan anggota pentadbir cukai.

"Kali ini, ketua-ketua delegasi ini akan menumpukan tiga aspek perbincangan iaitu menangani cabaran baharu dalam pentadbiran cukai dengan fokus merangkumi sumber manusia dan struktur organisasi; meningkatkan pematuhan secara sukarela serta perkembangan baharu dalam pembangunan pentadbiran cukai serta kemas kini berkaitan pembaharuan cukai,” katanya. - Bernama