25 gerai makanan percuma buat asnaf

Gerai aiskrim antara yang menjadi tumpuan kanak-kanak.
Gerai aiskrim antara yang menjadi tumpuan kanak-kanak.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Lebih 25 buah gerai makanan disediakan percuma kepada kira-kira 700 asnaf termasuk anak yatim sempena Semarak Cinta Rasul Dapur Dhuafa Sedekah Jumaat (DDSJ) di sini.

Setiausaha Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia (Salimah) Kedah, Fatimah Ahmed Khalil berkata, antara yang menjadi perhatian termasuk gerai sate, ais kacang, burger, takoyaki, 'lokching', aiskrim, nasi beriani, kek, laksa dan pelbagai jenis minuman termasuk gerai kopi disediakan percuma dengan tajaan pelbagai pihak.

Menurutnya, 700 asnaf terdiri daripada anak yatim, mualaf, ibu tunggal dan pelajar tahfiz yang dijemput khas dari Kulim, Alor Setar, Sik dan Baling

"DDSJ selalunya menyantuni asnaf di lokasi mereka seluruh Kedah pada setiap kali hari Jumaat di mana kami akan menyediakan makanan untuk disedekah, namun kali ini sempena sambutan Maulidur Rasul, kami kumpulkan mereka di Surau Ar-Rasyidin Taman Peruda bagi menjayakan Semarak Cinta Rasul tahun ini,"katanya.

Menurut Fatimah, tujuannya untuk meraikan anak yatim dan asnaf yang merupakan antara golongan yang mana Nabi Muhammad SAW sayangi sempena hari kelahiran baginda.

"Kita beri mereka peluang pilih apa sahaja yang mereka suka dan teringin nak makan, selain memupuk ukhuwah Islamiah, juga bertujuan agar mereka tahu masih ramai yang menyayangi serta ambil peduli," katanya.

Pelajar maahad tahfiz dari sekolah terpilih dijemput memeriahkan Semarak Cinta Rasul Dapur Dhuafa Sedekah Jumaat di Taman Peruda.
Pelajar maahad tahfiz dari sekolah terpilih dijemput memeriahkan Semarak Cinta Rasul Dapur Dhuafa Sedekah Jumaat di Taman Peruda.

Turut disenaraikan ialah persembahan qasidah, solat Asar berjemaah, gema selawat, pengisahan sirah Rasulullah, kuiz dan jamuan yang bermula 2 hingga 6.30 petang.

Artikel Berkaitan:

Semarak Cinta Rasul yang dianjurkan dengan kerjasama Badan Kebajikan Islam Taman Peruda turut dihadiri penduduk sekitar menjadikan jumlah kehadiran mencecah 1,000 orang.