'Jika ada sebarang tuduhan, SPRM pergi siasat'

Mohd Radzi ketika dalam sidang media Majlis Pelancaran Inisiatif 'Reading Progress' Di Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di sebuah hotel pada Selasa.
Mohd Radzi ketika dalam sidang media Majlis Pelancaran Inisiatif 'Reading Progress' Di Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di sebuah hotel pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh menyiasat dan melihat sendiri tuduhan terhadap Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhubung dakwaan penyelewengan dalam kementerian tersebut.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, KPM bersikap terbuka dan telus dalam konteks pendidikan bagi memupuk kepercayaan dalam kalangan masyarakat.

Ujar beliau, Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan (KPM), Datuk Yusran Shah Mohd Yusof telahpun diarah membuat laporan bagi membolehkan SPRM menjalankan siasatan berkaitan dakwaan penyelewengan melibatkan kontrak bekalan makanan bermasak serta kebersihan bangunan dan kawasan di bawah KPM.

"Kita nak pastikan imej KPM sejak saya masuk dalam kementerian ini terjaga, mesej kita setiap sen duit rakyat mesti dikembalikan kepada rakyat.

"Saya berada di sini menjalankan khidmat negara. Ada sebarang pertuduhan, SPRM (boleh) pergi siasat kementerian dan lihatlah apa yang berlaku di sana, kalau ada," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media Majlis Pelancaran Inisiatif 'Reading Progress' Di Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di sebuah hotel pada Selasa.

Pada Isnin, Mohd Radzi menerusi hantaran Facebook berkongsikan sebuah video oleh aktivis dan bekas ahli UMNO, Datuk Zaharin Mohd Yassin yang mendakwa menerima aduan bahawa tender untuk bekalan makanan bermasak dan pembersihan bangunan serta kawasan di bawah KPM telah dianugerahkan kepada pihak tertentu sebelum Surat Setuju Terima (SST) dikeluarkan.

Dakwa Zaharin, pemberian kontrak itu difahamkan untuk dana politik.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, ulas Mohd Radzi, usaha membina kepercayaan masyarakat terhadap prestasi KPM amat penting bagi membolehkan semua pihak bekerjasama ke arah memajukan sistem negara.

"Kita sangat terbuka dan telus kerana dalam konteks pendidikan itu, kita perlu bina kepercayaan.

"Kepercayaan masyarakat itu penting kerana setiap sen kita gunakan dengan terbaik.

"Dari situ kita dapat bekerjasama sebagai masyarakat yang ingin melihat pendidikan yang jauh lebih baik," ujarnya.