SC tandatangani MMoU penyeliaan APRC IOSCO

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia
A
A
A

SURUHANJAYA Sekuriti Malaysia (SC) menandatangani Memorandum Persefahaman Pelbagai Hala untuk Kerjasama Penyeliaan (MMoU Penyeliaan) Jawatankuasa Serantau Asia Pasifik (APRC) IOSCO pada mesyuarat tahunan Pertubuhan Suruhanjaya Sekuriti Antarabangsa (IOSCO) 2022 di Maghribi.

SC menjelaskan, pihaknya kini mempunyai pengaturan kerjasama mengenai hal-hal penyeliaan dengan rakan pengawal selia serantau termasuk Australia, Hong Kong, Jepun, Singapura dan Thailand, susulan pemeteraian MMoU Penyeliaan itu pada 17 Oktober 2022.

"Berikutan aktiviti rentas sempadan dalam pasaran modal semakin meningkat di rantau ini, MMoU Penyeliaan ini buat kali pertama mewujudkan rangka kerja rasmi untuk kerjasama penyeliaan serantau dalam kalangan pengawal selia pasaran modal,” menurutnya dalam kenyataan pada Selasa.

Pengerusi SC, Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin berkata, kerjasama penyeliaan rentas sempadan adalah elemen utama untuk meningkatkan perlindungan pelabur.

"Perkongsian maklumat dengan pengawal selia serantau melalui platform ini akan mengukuhkan keupayaan penyeliaan keseluruhan SC,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Sementara itu Pengerusi APRC, Takashi Nagaoka mengucapkan tahniah kepada SC kerana menjadi antara penandatangan pertama MMoU Penyeliaan APRC IOSCO.

"Ini adalah peristiwa penting yang akan meningkatkan kerjasama dan penyelarasan pengawal selia merentas sempadan,” katanya.

Menurut kenyataan yang sama, SC juga telah dilantik semula sebagai ahli Lembaga IOSCO, badan pentadbir dan penetapan piawai yang bertanggungjawab mengetuai hala tuju dan proses penetapan piawaian mengenai isu dasar yang mempengaruhi pasaran modal global, untuk penggal 2022 hingga 2024.

Artikel Berkaitan:

SC menjadi ahli Lembaga IOSCO sejak 2012.

Pengawal selia sekuriti global berhimpun di mesyuarat tahunan IOSCO dan membincangkan kesan perkembangan antarabangsa semasa dalam sektor kewangan, termasuk risiko dan cabaran kepada pasaran modal, jelas SC.

Suruhanjaya itu menambah, barisan perwakilan telah berkongsi pandangan mengenai pelbagai topik termasuk aset kripto dan digital, kewangan mampan, risiko baharu dan tingkah laku pasaran runcit.

IOSCO merupakan forum dasar antarabangsa terkemuka untuk pengawal selia sekuriti.

Keahlian organisasi ini mengawal lebih daripada 95 peratus pasaran sekuriti dunia di 130 bidang kuasa.

SC merupakan tuan rumah Hab IOSCO Asia-Pasifik di Kuala Lumpur, satu-satunya hab serantau yang ditubuhkan di luar ibu pejabat IOSCO yang terletak di Madrid, Sepanyol. - Bernama